rap

Jay Park mohon maaf terhadap umat Islam

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Penyanyi popular, Jay Park membuat permohonan maaf menerusi Twitter dan Instagram selepas mengguris hati umat Islam apabila menggunakan nama Allah di dalam lirik lagu solonya berjudul, Mukkbang.

Dalam hantarannya di kedua-dua platform media sosial itu, Park berkata, dia pada awalnya tidak merasakan bahawa penggunaan nama Allah adalah satu masalah.

"Saya dengan merendah diri memohon maaf. Dalam lagu berjudul Mukbang 'remix', saya gunakan ayat 'Worship me like Allah (puja saya seperti Allah)', mengguris hati ramai orang.

"Pada awalnya, saya tak nampak sebarang masalah, tapi selepas membaca komen-komen (bukan komen kebencian tapi komen yang mendidik dan menerangkan), saya nampak bahawa penggunaan perkataan itu dalam lirik lagu saya adalah sesuatu yang tidak sesuai," tulisnya.

Dia juga memohon maaf kepada peminat-peminatnya yang beragama Islam dan tidak bermaksud untuk tidak menghormati agama lain.

"Saya mohon maaf kepada semua peminat saya yang beragama Islam. Saya tidak berniat untuk tidak menghormati atau mengguris hati sesiapa, dan saya akan jadikan ini sebagai pengajaran.

"Saya sayang dan hormat semua orang tidak kiralah dari apa juga budaya, etnik, mahu pun agama," tulisnya.

Terdahulu, Park menulis ciapan yang mempertahankan tindakannya untuk menggunakan nama Allah dalam lirik, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai.

"Lirik itu tak bermaksud untuk mengguris hati atau tidak hormat sesiapa. Kepada sesiapa yang terasa, saya mohon maaf.

"Kepada yang mengatakan saya membawa-bawa nama agama atau bersikap rasis, hentikan tuduhan-tuduhan itu. Bagi saya, ia cuma lirik. Mudah saja," tulisnya sebelum memadam ciapan itu.

Disiarkan pada: May 28, 2021 @ 4:32pm
d