rap

'Ini konflik Search paling teruk' - Noordin

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pemain gitar kumpulan Search, Noordin Mohd Taib menyifatkan konflik yang melanda Search ketika ini adalah isu sama yang berulang, namun ia adalah yang paling teruk sejak dia menyertai kumpulan rock nombor satu itu pada 1984.

"Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, saya nampak banyak benda yang tak terurus dalam Search. Jika sesebuah band (kumpulan rock) diurus oleh anggota kumpulan itu sendiri, maka akan wujud perkara seperti kepentingan peribadi.

"Lebih-lebih lagi jika ada orang luar yang tak tahu apa-apa masuk campur. Jadi, dia akan jadi bercelaru macam inilah," katanya dalam sidang media secara maya, semalam.

Ia turut disertai pengurus Home Of Champions (HOC), Mozylir Mokhtaruddin dan peguam mereka, Datuk Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar dan Noorizwa Jurish dari Tetuan Sharif Ridzuan & Co.

Sidang media berkenaan diadakan bagi menjawab dakwaan bekas penyanyi Search, Amy; pemain bass, Nasir dan waris pemain dram, Allahyarham Yazit mengenai isu penggunaan nama Search untuk tujuan perniagaan dan komersial tanpa kebenaran.

Noordin berkata, Search mula terumbang-ambing selepas pengurus mereka, Datuk Aziz Bakar meletak jawatan.

"Dari dulu saya pernah cakap, kenapa kita tak ambil pengurus? Search adalah nama besar dan ia perlukan pengurusan yang bagus, bukan seperti pengurusan sekarang. Bayangkan satu kapal ada dua kapten? Itulah yang berlaku dalam Search sekarang," katanya.

Noordin berkata, dalam sidang media baru-baru ini Amy mendakwa dia meninggalkan Search tahun lalu selepas berlaku perselisihan faham dengan Nasir.

"Kenapa nak babitkan saya? Selesaikanlah masalah berdua dan jangan babitkan orang lain," katanya.

Noordin yang rapat dengan HOC turut dituduh memandai-mandai merancang sesuatu tanpa persetujuan Nasir.

"Saya merancang apa? Cuba jelaskan. Selama ini siapa yang merancang? Saya bukan nak memandai-mandai seperti yang didakwa Nasir. Saya nampak benda yang tak betul, jadi saya cuba betulkan, bukan nak memandai-mandai. Saya buat semua ini sebab nak jaga hak masing-masing.

" Dah 40 tahun baru nak cerita mengenai hak dan harta intelek? Kami dah 40 tahun seperti keluarga, tak perlulah nak bergaduh. Amy cakap macam ni, Nasir cakap begitu. Kami sudah seperti keluarga, takkanlah saya nak ambil semua," katanya.

Sementara itu, Noordin mendakwa isteri Amy, Nourish turut melakukan serangan peribadi terhadapnya.

"Saya tak kisah kalau dia cerita dengan orang-orang yang mengenali saya, tetapi kenapa perlu cerita dengan orang luar? Kenapa dia sendiri tak cakap dengan saya? Saya nak cakap dengan Amy dan Nourish. Dia siapa? Kami tak pernah lantik dia sebagai pengurus Search pun," katanya.

Noordin berkata, dia akan berbincang dengan pihak peguam dan mungkin akan mengambil tindakan kerana perkara itu memalukannya.

Disiarkan pada: May 29, 2021 @ 4:02pm
d