rap

Siti Nurhaliza lancar Tabung Bantuan Khas Palestin & Covid-19

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Datuk Seri Siti Nurhaliza melancarkan Tabung Bantuan Khas Palestin & Covid-19, hari ini.

Siti berkata, ia adalah kesinambungan daripada Dana PKP Siti Nurhaliza yang diusahakan tahun lalu.

"Ia kini dikenali dengan nama baharu untuk bantuan khas terkini iaitu Tabung Bantuan Khas Palestin dan Covid-19 dengan kerjasama Yayasan Nurjiwa & CTDK Holdings.

"Apa jua usaha yang saya, suami, anda dan kita semua lakukan, saya yakin niat dan fokus adalah sama dan tidak ada lain kerana Allah SWT serta Dia Maha Mengetahui. Apa yang kita usahakan adalah dari niat dan keikhlasan dan tiada apa-apa kepentingan peribadi," katanya.

Menurut Siti, bantuan khas terbabit bertujuan bagi mengumpul dana untuk beberapa inisiatif khusus yang sudah diputuskan.

"Memberi bantuan kecemasan, kebajikan, kemanusiaan dan pembangunan bagi rakyat Palestin. Bantuan khas Covid-19 meliputi bantuan kelangsungan hidup kepada barisan hadapan dan juga mangsa atau keluarga mangsa Covid-19 yang menghadapi masalah dan sebagainya.

"Bantuan lain juga diberikan seperti bantuan kebajikan dan keperluan semasa," katanya.

Tabung Bantuan Khas Palestin & Covid-19 dengan kerjasama Yayasan Nurjiwa dan CTDK Holdings dilancarkan tepat jam 12 tengah hari, hari ini di platform Kita Fund.

Disiarkan pada: May 29, 2021 @ 4:29pm
d