rap

'Pekerja produksi kena berjimat cermat' - Shahrulezad

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pengarah drama terkenal, Shahrulezad Mohameddin menyambut baik usaha kerajaan dalam melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh di seluruh negara selama dua minggu bermula Selasa ini.

Shahrulezad berkata, langkah yang diputuskan kerajaan ini adalah tepat kerana kes jangkitan Covid-19 dilaporkan setiap hari amat membimbangkan.

"Sebagai pengarah saya menyokong penuh usaha kerajaan untuk melaksanakan Sekatan Pergerakan Penuh ini. Melihat jumlah kes positif Covid-19 yang amat menakutkan, saya rasa kita sudah tiada cara lain untuk memutuskan rantaian pandemik ini.

"Saya juga sudah mengambil tindakan lebih awal dengan menghentikan penggambaran seminggu sebelum tarikh pengumuman ini. Jika diikutkan drama terbitan Radius One sudah memulakan penggambaran Isnin lalu, tapi kami enggan mengambil sebarang risiko," katanya.

Menurut Shahrulezad, bagi memastikan setiap pekerja produksi mempunyai kewangan yang cukup sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh, dia sudah mengingatkan mereka supaya sentiasa berjimat cermat.

"Kami sudah melunaskan bayaran penuh kepada pekerja produksi drama Scammer yang selesai menjalani penggambaran sebelum Aidilfitri lalu.

"Pihak kami juga sudah mengingatkan kepada mereka supaya tidak boros dan berbelanja dengan cermat. Ini kerana, kami sudah mengagak keadaan akan semakin teruk berdasarkan jumlah kes yang dicatat semakin tinggi," katanya.

Disiarkan pada: May 30, 2021 @ 8:58pm
d