rap

Fara Hanim mohon maaf pada Rita, Lufya

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pengacara, Fara Hanim Razak yang juga jiran pelakon, Rita Rudaini serta Lufya Omar memohon maaf kepada kedua-dua jirannya itu selepas tular kisah mengenai dua selebriti berkenaan yang dianggap anti-vaksin. 

Dalam hantarannya di Instagram, wanita yang mesra disapa Anim ini berkata, dia bermuhasabah diri dan menerima setiap teguran yang diberikan kepadanya. 

"Selepas bermuhasabah dan merenung segala kekurangan dan kelemahan diri, Anim menerima dengan terbuka teguran-teguran ramai berkenaan isu membabitkan Anim sebelum ini. 

"Anim sedar apa yang Nabi junjungan besar kita berpesan, 'Setiap anak Adam melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat. (Riwayat Ibn Majah).

"Atas pesan Nabi kita, InshaAllah Anim menginsafi kelemahan dan akan baiki diri Anim untuk menjadi hamba-Nya yang lebih baik," tulisnya. 

Dalam hantaran itu, Anim juga memaklumkan dia sudah menghubungi kedua-dua selebriti berkenaan untuk memohon maaf. 

"Anim baru sahaja menghubungi pihak terbabit untuk memohon maaf dan di sini juga Anim ingin memohon maaf secara terbuka.

"Hasrat Anim hanya satu iaitu seluruh rakyat Malaysia bersatu hati menentang ancaman virus Covid-19.

"Sesungguhnya kita belum menang, tapi kita boleh menang bila hati kita bersatu bersama berjuang dengan penuh sabar. Sekali lagi, Anim mohon maaf. Terima kasih semua," tulisnya. 

Anim memuat naik dua hantaran yang dikepilkan bersama mesej permohonan maaf yang dihantar kepada kedua-dua selebriti itu. 

Jumaat lalu, heboh di media sosial mengenai ciapan Anim di Twitter yang berkongsi cerita mengenai jirannya yang dikatakan sebagai anti-vaksin. 

Tidak menamakan mereka, Anim melabelkan kedua-dua wanita itu dengan nama RR dan LL, sekali gus menuai komen netizen yang memberi jawapan kepada 'klu' yang diberikan. 

Disiarkan pada: May 31, 2021 @ 4:39pm
d