rap

Tajul serik nak ikut petua netizen

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi Tajul Arif, 23, serik untuk mengikut petua dikongsikan netizen di media sosial selepas isterinya Nurul Shamieza Eddie yang masih dalam tempoh berpantang hampir mengalami bentan akibat tersalah mengikut petua dikongsikan netizen di Facebook, baru-baru ini.

Tajul berkata, ia berlaku selepas Nurul Shamieza mengamalkan petua meminum air sengkuang Cina yang dikongsi netizen di Facebook bagi mengurangkan masalah kuning yang dialami bayi lelaki mereka yang dilahirkan pada 6 Mei lalu.

"Kami memang serik nak ikut petua-petua yang tak sepatutnya lagi. Itu adalah kali pertama dan terakhir kami terpedaya untuk mencuba petua yang tak pasti sahih gara-gara percaya dengan perkongsian netizen di media sosial," katanya kepada Harian Metro.

Tajul berkata, tindakan pantasnya menggunakan seketul bawang putih yang dibakar dan dimakan dengan gumpalan nasi, termasuk memberi isteri minum air panas akhirnya dapat membantu meredakan keadaan Nurul Shamieza yang mengalami demam teruk.

Tajul berkata, dia akan lebih berhati- hati dan situasi itu cukup memberi pengajaran kepada mereka.

Dia bersyukur kerana isterinya dapat pulih segera sekali gus sembuh daripada demam dialami.

Tajul atau nama sebenarnya Tajul Ariff Noor Md Shari dan Nurul Shamieza bernikah pada 10 Disember 2017.

Anak pertama mereka, Adriana Carissa kini berusia dua tahun.

Disiarkan pada: June 1, 2021 @ 4:52pm
d