rap

Osman Ali serik dengan kontroversi gambar Zul Ariffin dan Intan Najuwa

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Serik dengan kontroversi penularan aksi mesra Zul Ariffin dan Intan Najuwa menerusi drama arahannya, Setelah Ku Dimiliki membuatkan Osman Ali lebih berhati-hati.

Osman yang mengarahkan drama bersiri 16 episod terbaru berjudul Masih Ada Rindu menggandingkan Farid Kamil dan Mimi Lana berkata, dia tidak mahu perkara itu berulang lagi.

"Saya akui perkara itu berlaku tanpa diduga dan dirancang serta terjadi sendiri. Untuk kali ini saya sangat berhati-hati sentiasa pastikan babak-babak tidak keterlaluan.

"Kadang-kadang babak itu biasa saja tapi saya tidak berani nak muat naik sebarangan di media sosial," katanya pada sidang media secara maya bagi mempromosi drama yang akan ditayangkan menerusi slot Akasia TV3 bermula hari ini, jam 7 malam.

Terdahulu gambar aksi Zul Ariffin yang menjulang Intan Najwa di dalam air menerusi drama yang ditayangkan di slot Akasia TV3 pada November 2019 itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen.

Bagaimanapun, Osman memaklumkan gambar itu tiada dalam 'footage' kamera mereka dan tidak tahu apa-apa mengenai gambar berkenaan.

"Untuk kali ini, saya juga pesan pada kru kalau boleh jangan muatnaik lagi babak-babak begini kerana kita tidak pasti penonton sentiasa mempunyai pemikiran berbeza.

"Kadang-kadang benda yang dipandang biasa oleh kita, jadi luar biasa pada mereka. Saya kena berhati-hati kerana tidak mahu menjejaskan reputasi dan imej pelakon-pelakon.

"Ada juga babak yang apabila disunting nampak agak kurang sesuai. Contohnya babak tarian, saya kurangkan sentuhan dan sunting sebaik mungkin agar tidak menimbulkan kekeliruan orang," katanya. Menurutnya dalam situasi ketika ini, penonton di rumah akan memerhati menyeluruh dan pihaknya perlu mengelakkan kesilapan.

"Saya bukanlah trauma tapi tak nak pihak yang terbabit berasa tertekan. Selain itu saya juga tidak mahu berlaku implikasi pada orang-orang yang terbabit," katanya.

Sementara itu Farid Kamil menganggap babak lakonannya bersama Mimi Lana dalam drama itu tidak keterlaluan.

"Bila sudah berumah tangga, saya tentu mengutamakan perasaan isteri dan akan cerita kepadanya siapa heroin dan skrip. Secara tidak langsung ia akan memudahkan saya berlakon watak romantis. Ini bukan bermaksud saya kena merujuk setiap tawaran pada dia.

"Saya cuma beritahu akan berlakon sebuah cerita baik filem ataupun drama, dan selalunya selepas itu isteri sudah tahu saya akan berlakon dengan siapa dan sebagainya," katanya.

Farid berkata, dia bukannya untuk meminta kebenaran tetapi lebih kepada memahamkan isterinya yang juga pelakon Diana Danielle.

"Dia lebih risau saya berlakon babak aksi. Setakat genre romantis, Diana selalu nasihatkan saya agar hati-hati dan jaga diri baik-baik.

"Namun sekiranya watak aksi, dia takutkan keselamatan saya kerana kami ada anak-anak yang sedang membesar," katanya.

Disiarkan pada: June 2, 2021 @ 6:40pm
d