rap

Hilang 60 peratus pendapatan, Siti Nordiana perlu kerja keras

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon popular, Siti Nordiana Alias atau Nana mengakui turut mengalami pendapatan terjejas sebanyak 60 peratus sejak penularan Covid-19, awal tahun lalu.

Nana, 37, berkata, ia berikutan pendapatannya menerusi acara persembahan nyanyian untuk majlis-majlis sudah tidak dibenarkan lagi sebagai langkah memastikan orang ramai tidak berkumpul.

"Jumlah ini sekadar anggaran saya kerana kita pun sudah dua kali menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekarang Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) pula.

"Apapun, saya tetap bersyukur kerana ada tabungan yang boleh digunakan dan ia sedikit-sebanyak cukup membantu saya untuk meneruskan kelangsungan hidup pada ketika pandemik ini.

"Selain itu, saya juga mengambil inisiatif untuk lebih kreatif mempelbagaikan kemahiran termasuk aktif menceburi perniagaan dalam talian selain meneruskan tumpuan pada kerjaya seni dalam penerbitan lagu dan juga lakonan," katanya.

Menurut penyanyi lagu Angkara ini, dia juga bersyukur kerana masih mampu melunaskan segala bayaran untuk komitmen bulanan seperti biasa.

Katanya, dalam situasi sekarang dia kena bekerja keras mencari rezeki.

Ditanya mengenai pengambilan vaksin Covid-19, Nana berkata, setakat ini pendaftaran permohonannya masih tidak berjaya lagi dan dia akan terus berusaha hingga mendapat rezeki untuk divaksinasi.

"Kepada anda semua yang permohonan vaksin sudah berjaya, ambillah peluang itu. Anda sudah ada rezeki, manakala orang lain masih ramai yang terpaksa menunggu giliran. Janganlah tidak hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditetapkan.

"Untuk saya sendiri, memang nak divaksin segera. Tapi, sayang permohonan pendaftaran tidak berjaya. Kalau saya dapat peluang itu (divaksin) pasti takkan dilepaskan kerana untuk perlindungan kesihatan dan keselamatan diri. Lagipun ia diberi secara percuma oleh kerajaan," katanya.

Terdahulu, Nana yang juga ibu tunggal seorang anak lelaki tampil pada sidang media secara virtual pelancaran single terbaharunya berjudul Cukup Derita Itu.

Disiarkan pada: June 3, 2021 @ 5:41pm
d