rap

Hati terbuka berlakon drama

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Sebagai pelakon yang sudah diketahui kualiti lakonannya, wajar Farid Kamil, 40, bersikap memilih dalam sebarang tawaran berlakon.

Justeru, pelakon bernama sebenar Farid Kamil Zahari ini mempunyai alasan tersendiri apabila membintangi drama bersiri Masih Ada Rindu arahan Osman Ali yang ditayangkan menerusi slot Akasia TV3 sejak Rabu lalu.

Farid mengakui jarang bersetuju berlakon drama episod.

"Saya sentiasa memilih watak bersesuaian kerana sebagai pelakon saya perlu beri sepenuh hati dan perasaan untuk melakonkan watak terbabit.

"Seperti kita tahu, drama episod perlukan masa yang agak lama. Saya sudah empat tahun tak berlakon drama episod dan apabila ditawarkan, saya kena buat perbincangan dengan pengarah.

"Walaupun saya rasa karya ini berat, perbincangan yang dibuat memudahkan saya berlakon baik dari segi perwatakan dan jalan cerita," katanya.

Menurutnya, dia juga serasi bekerja dengan Osman dan tidak ragu-ragu menawarkan diri untuk projek dengan Nuansa Sdn Bhd milik pengarah itu.

"Hati saya hanya terbuka terima tawaran drama episod dengan mereka. Saya rasa ini produksi yang mampu angkat drama Malaysia ke satu tahap tertinggi.

"Mereka bekerja sangat serius tanpa mengira ia filem atau drama. Saya lihat Osman ada sikap tanggungjawab untuk angkat sesuatu karya ke tahap tertinggi. Mana-mana produksi yang ingin ambil saya, kena setanding dengan Nuansa. Sebelum ini ada produksi yang beri layanan teruk kepada pelakon negara kita," katanya.

Selepas 15 Tahun, Farid kini sudah menghasilkan filem Rempit-2 yang akan ditayangkan kepada peminat pada bila-bila masa.

"Saya terbitkan filem ini disebabkan permintaan berulang kali daripada orang ramai. Setiap kali jumpa saya, mereka tanya berkenaan sambungan filem yang pernah pecah panggung ini.

"Jadi, saya ambil itu sebagai intipati motivasi saya untuk menerbitkan filem ini. Namun, apa yang disajikan dalam Rempit 2 berlainan 100 peratus dari yang pertama.

"Saya hanya tunggu tarikh sesuai untuk keluarkan kerana pandemik Covid-19 menjejaskan perancangan saya," katanya.

Dia turut memaklumkan Zul Huzaimy tidak lagi terbabit dalam filem ini.

"Dia tiada kena-mengena dalam Rempit 2 kerana saya sudah ketepikan namanya kerana selepas buat perjanjian dan peratusan untuk filem ini, dia tiba-tiba menghilangkan diri.

"Namun, watak Spark yang dicipta dalam Rempit pertama kekal ada. Filem ini tidak bergantung pada yang lalu, tapi ini filem tahun 2020.

"Saya sudah bersedia melahirkan hero baharu iaitu anak saya, Muhammad yang ditampilkan dalam filem ini," katanya.

Disiarkan pada: June 5, 2021 @ 6:52am
d