rap

'Kesannya ada lagi' - Sweet Qismina

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Walaupun sudah bebas daripada virus Covid-19, pelakon Sweet Qismina masih merasai kesan sampingannya seperti sukar untuk tidur nyenyak dan bernafas dengan baik.

Sweet yang disahkan positif virus berkenaan pada 21 April lalu dan menjalani kuarantin selama 10 hari di Pusat Kuarantin Ipoh, Perak berkata, apabila seseorang itu dijangkiti Covid-19, mereka kena tahu yang virus itu masih ada dalam tubuh selama enam bulan, cuma ia tidak aktif.

"Jika diikutkan Oktober ini baru saya bebas sepenuhnya virus itu, tapi ada sesetengah orang sudah negatif awal kerana antibodi atau sistem ketahanannya kuat.

"Setakat hari ini saya cuma ada masalah kesukaran untuk bernafas, lebih-lebih lagi ketika bersenam. Selain itu, saya juga susah nak tidur nyenyak kalau saya tidak minum air atau ambil vitamin," katanya. Menurut Sweet, walaupun berdepan kesan sampingan kecil, namun dia bersyukur semuanya berada dalam keadaan baik dan selamat.

"Apa yang perlu dilakukan sekarang ini adalah saya kena lebih berhati-hati apabila mahu keluar. Ini kerana sekiranya saya berjumpa dengan individu yang positif Covid-19 dan saya dijangkiti untuk kali kedua, ia akan jadi lebih teruk dari apa yang saya hadapi sebelum ini.

"Setakat ini saya bersyukur kerana baik-baik saja. Saya tidak berdepan kesan sampingan yang teruk seperti sebelum ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: June 5, 2021 @ 4:31pm
    d