rap

Snake Eyes: G.I. Joe Origins, penuh misteri...

Oleh Agensi

Los Angeles: Pelakon Henry Golding, 34, mengakui dia mulanya berbelah-bahagi untuk membintangi watak utama filem Snake Eyes: G.I. Joe Origins kerana tugas itu terlalu besar.

Menurut Golding, watak itu terlalu ikonik buatnya selain dia tidak pernah melakukan filem dengan aksi besar sebegitu sepanjang karier lakonannya.

"Ia bukan watak yang harus dipandang remeh. Ia adalah karakter G.I. Joe terbesar pernah dicipta. Mendapat peluang untuk meneroka karakter berkenaan dengan corak lebih segar adalah tanggung jawab besar.

"Dalam filem G.I. Joe lain, Snake Eyes sentiasa digambarkan sebagai misteri, maka sangat menarik ia dapat ditonjolkan lebih ke depan. Filem ini meletakkan ramai watak sebagai barisan hadapan.

"Kami melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan sebelum ini dalam filem aksi besar. Saya rasa, kami lakukan sesuatu di luar jangkaan dan yakin bakal mengejutkan penonton," katanya.

Dalam pada itu, Golding turut menegaskan Snake Eyes bukanlah watak adiwira sebaliknya, manusia yang memiliki kekuatan serta keistimewaan tersendiri.

"Saya rasa ia adalah sebuah filem terbuka mengenai aksi dan bukannya filem adiwira. Penonton harus memahami karakter dalam G.I. Joe adalah manusia biasa dengan kemahiran luar biasa," katanya.

Filem Snake Eyes: G.I. Joe Origins arahan Robert Schwentke terbabit di jadual akan ditayangkan pada 23 Julai ini. Selain Golding, ia turut dibintangi Andrew Koji, Ursula Corbero, Samara Weabing, dan Haruka Abe.

Disiarkan pada: June 6, 2021 @ 4:17pm
d