rap

Aidilia lebih kreatif

Oleh Norhayati Nordin

TARUHAN pertama penyanyi baharu dikenali sebagai Aidilia Hilda menerusi single Tak Mau Mau, nyata membawa impak positif dalam kerjaya nyanyiannya. Apatah lagi, muzik video lagu itu di YouTube mencecah empat juta tontonan.

Baru enam bulan single solo pertamanya itu dilancarkan, boleh dikatakan perkembangan kerjaya nyanyian Aidilia yang masih 'hijau' menunjukkan perkembangan baik di kala bidang seni suara suram akibat penularan Covid-19.

Aidilia, 27, berkata, kini cabaran dalam kerjaya nyanyian agak besar kerana kekangan dialami berikutan pandemik Covid-19 serta perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekarang, sekatan pergerakan penuh (SPP) pula.

"Bagaimanapun, kemudahan platform media sosial seperti Instagram, Tik Tok, Twitter dan Facebook juga banyak membantu saya untuk promosi lagu. Begitu juga platform digital seperti YouTube yang boleh dimuatkan dengan pelbagai 'content'.

"Saya selesa melihat ke arah positif termasuk banyakkan usaha untuk lebih kreatif. Dalam keadaan pandemik sekarang, lebih ramai orang yang terkesan. Untuk saya pula, jangan patah semangat dan terus berusaha selagi mampu.

"Bagaimanapun, saya sangat berterima kasih kepada peminat yang sudah memberikan sokongan pada lagu Tak Mau Mau. Saya sangat bersyukur lagu ini mendapat sambutan yang baik. Malah, berasa juga masuk dalam carta lagu popular radio," katanya.

Turut mengembangkan bakat dalam lakonan menerusi drama pendek, Rusa After Class bagi musim pertama dan kedua di YouTube, Aidilia atau nama sebenarnya Aidilia Hilda Abdul Halim berkata, dia seorang yang suka mencuba.

"Pada saya, tidak ada salah kita mencuba. Lagipun, watak saya dalam drama itu adalah ringan sebagai pelajar sekolah. Bahkan, menariknya ia membawa kita mengenang semula kenangan lalu di alam persekolahan.

"Saya percaya alam persekolahan kita dahulu pasti ramai yang memiliki pelbagai kenangan tak dapat dilupakan.

Terutama selain fokus belajar mesti ada yang pernah melalui pengalaman bercinta ketika zaman sekolah," katanya.

Membintangi drama Rusa After Class bersama rakan penyanyi lain seperti Sarah Suhairi, Azzam Sham, Sheryl Syazwanie, Baby Acha, Lia Aziz, Erin CTJ dan ramai lagi, katanya, dia sudah memberikan lakonan yang baik.

Ditanya adakah dia sebenarnya bersedia untuk aktif berlakon, Aidilia berkata, jika ada peluang sesuai, apa salahnya. Apapun katanya, biar watak yang ringan kerana dia perlu lebih dahulu menimba pengalaman.

"Sebagai bakat baharu, saya tidak boleh dengan senang menerima sahaja tawaran kerana nak jadi pelakon. Saya kena tahu sejauh mana tahap kemampuan diri supaya tidak menyusahkan orang lain di lokasi.

"Ia tidak bermaksud saya cuba memilih watak. Cuma saya kena pastikan ia karakter yang sesuai dan boleh dilakonkan dengan baik. Apapun, semuanya tetap bergantung pada peluang dan rezeki," katanya lagi.

Aidilia yang sebelum ini pernah menggalas tugas kerja di belakang tabir sebagai pengurus produksi berkata, dia memilih untuk aktif dalam bidang nyanyian kerana minat. Ditambah katanya, lagu Tak Mau Mau itu hasil ciptaaan bersama Achoi Floor 88 dan Oja Gegar Vaganza.

Selain itu, Aidilia yang memiliki ijazah dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) pernah muncul sebagai model dalam muzik video lagu Zalikha nyanyian Floor 88.

Disiarkan pada: June 7, 2021 @ 6:30am
d