rap

Perkenal program RTW

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

TIDAK ramai golongan pekerja tetap yang mencarum dalam Sosial Security Organisation (SOCSO) atau Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tahu manfaat caruman ini terhadap mereka sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.

Faktor inilah yang mendorong Perkeso menerbitkan program realiti televisyen berjudul Luar Biasa yang bertujuan memberi kesedaran dan pengetahuan kepada pencarum.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, Luar Biasa yang mula ditayangkan pada 4 Jun lalu, mengetengahkan kisah dan pengalaman individu hilang upaya yang dapat kembali bekerja selepas mengikuti Program Return To Work (RTW) Perkeso.

"Program 13 episod ini ditayangkan setiap Jumaat jam 9 malam di saluran 105 Astro Prima dan adalah rancangan keempat terbitan kami yang memaparkan kejayaan RTW.

"Ketika kita sedang berjuang memerangi pandemik Covid-19, Perkeso sekali lagi mengulangi kejayaan untuk menerbitkan program televisyen yang mengisahkan perjalanan peserta RTW mengharungi liku-liku kehidupan selepas mengalami musibah, kemalangan atau penyakit.

"Program ini juga mengisahkan mengenai orang yang diinsuranskan oleh Perkeso bangkit daripada bencana dan kesengsaraan dan kini mampu berdikari, malah menyumbang tenaga serta bakti kepada masyarakat," katanya.

RTW adalah program pengurusan hilang upaya bagi membantu memulihkan pencarum yang cedera atau menghidapi penyakit untuk kembali semula bekerja lebih awal, sihat dan selamat dengan melalui beberapa proses pemulihan fizikal atau latihan mula diperkenalkan oleh Perkeso pada 2007.

Menurutnya, sejak diperkenalkan sehingga 14 Mei lalu, seramai 36,159 peserta dibantu untuk kembali ke dunia pekerjaan hasil daripada kerjasama dengan semua pemegang taruh.

"Peserta program RTW yang juga adalah Orang Berinsurans (OB) Perkeso, berjaya bangkit semula dari bencana dan kesengsaraan yang dihadapi menerusi sokongan dan bimbingan yang diberikan menerusi program terbabit," katanya.

Program Luar Biasa menggandingkan dua selebriti terkenal tanah air, Norman Hakim dan Shiha Zikir sebagai pengacara.

Mereka tampil dalam sesi bual bicara santai dengan unsur sketsa serta perbincangan bersama barisan tetamu jemputan yang terdiri daripada pakar, selebriti dan juga pengurusan kanan Perkeso untuk setiap episod.

Program ini turut menyelitkan peranan dan aktiviti yang dijalankan di bawah Program RTW Perkeso selain turut menyajikan maklumat terkini berkaitan skim-skim perlindungan dan inisiatif terbaharu Perkeso kepada penonton.

Perkeso menyasarkan sekurang-kurangnya 1.5 juta tontonan di kalangan rakyat Malaysia dan paling penting mereka menyedari serta memahami fungsi dan manfaat Program RTW Perkeso.

Lagu berjudul Luar Biasa dendangan Azmi Saat, vokalis kumpulan Caliph Buskers turut ditampilkan sebalai lagu tema.

Sementara itu, Shiha mengakui gementar ketika mula-mula diberi tanggungjawab bersama Norman Hakim.

"Alhamdulillah, apabila berada di set, kami dapat membentuk keserasian. Dalam masa sama, saya rasa beruntung juga kerana banyak informasi dan kelebihan mencarum dengan Perkeso.

"Selama ini saya ingat caruman Perkeso ini hanya untuk golongan pekerja pejabat sahaja, tapi sebenarnya golongan bekerja sendiri seperti saya pun boleh juga.

"Selepas ini saya nak ajak teman artis untuk mencarum kerana sedar kepentingan Perkeso untuk kita," katanya.

Penonton juga boleh menyaksikan program ini menerusi saluran YouTube dan Facebook Perkeso tiga hari selepas ia disiarkan di saluran 105 Astro Prima.

Disiarkan pada: June 8, 2021 @ 6:45am
d