rap

Anak pengerusi Finas dapat 11A

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Zakaria Abdul Hamid gembira dengan kejayaan anak bongsunya, Amir Zulhadeef Zakaria yang memperoleh 11A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang keputusannya diumumkan hari ini.

Zakaria berkata, dia dan isteri tidak menyangka dengan pencapaian cemerlang tertinggi yang diraih anak kelimanya itu.

Apa yang mengagumkan, Amir mendapat A+ dalam semua mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Matematik Tambahan, Bahasa Arab, Fizik, Kimia, Biologi, Pendidikan Al-Quran & Al- Sunnah dan Pendidikan Syariah Islamiah.

"Kami sangat berbangga dengan pencapaiannya. Kami tak sangka dia berjaya mendapat 11A dalam SPM. Sebelum ini memang dia ada maklumkan yang dia yakin dengan peperiksaan yang diambil, cuma dia beritahu mata pelajaran yang paling susah dan mungkin menyukarkannya untuk mendapat A adalah Matematik Tambahan.

"Perkara yang saya perasan dalam diri anak saya adalah dia tahu apa yang dia kena buat. Saya dan isteri tak pernah nak berleter atau menyuruh dia baca buku sepanjang masa. Saya juga ingin puji sikapnya yang selalu mendengar kata dan mintalah bantuan apa saja, pasti dia akan buat," katanya.

Menurut Zakaria, Amir yang bersekolah di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Gombak amat mementingkan soal agama dalam kehidupan sehariannya.

"Dia tak pernah tinggal solat. Malah, kalau dia tiada apa nak buat seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, dia akan berpuasa setiap Isnin dan Khamis.

"Amalan berpuasa sunat ini sudah menjadi satu rutin untuknya. Apa yang membuatkan saya terharu lagi apabila dia selalu membaca al-Quran.

"Dulu saya ingat dia main telefon ketika lepak di beranda rumah, tapi rupa-rupanya dia sedang mengaji al-Quran. Amir ada beritahu dia ingin menjadi pakar ekonomi satu hari nanti. Saya doakan semoga impiannya itu menjadi kenyataan," katanya.

Disiarkan pada: June 10, 2021 @ 5:03pm
d