rap

'Keputusan SPM kami... alhamdulillah!'

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Dua penyanyi remaja, Lia Aziz, 18, dan Erin CTJ, 18, bersyukur mereka lulus dan mendapat keputusan baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang  diumumkan, baru-baru ini.

Agak keberatan mendedahkan keputusan sebenar, kedua-dua mereka gembira apabila segala cabaran dilalui sudah berakhir untuk menduduki SPM pada tahun lalu  akibat Covid-19.

Lia yang kini popular dengan lagu Kucu Kuca berkata ada beberapa mata pelajaran yang dia jangka mendapat markah kurang sebelum peperiksaan SPM, tapi keputusannya tinggi pula. 

"Jadi, banyak benda yang saya tak jangka dan alhamdulillah dengan keputusan yang agak baik ini. Saya kini berharap akan dapat peluang melanjutkan pengajian di universiti pula.

"Bila dikenang-kenang semula, menjadi calon SPM tahun lalu, besar cabarannya. Kami tidak dapat ke sekolah belajar bersemuka dengan guru kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bahkan, sesi pembelajaran banyak melalui 'online'.

"Selain itu, tarikh peperiksaan SPM juga ditunda sebanyak dua kali dan saya akui sedikit sebanyak ia menyebabkan semangat belajar jadi semakin kurang," katanya.

Bagi Erin yang muncul dengan lagu Arjuna berkata dia lega sudah mendapat keputusan SPM yang ditunggu-tunggu selama ini. Katanya, dugaan agak berliku untuk mendapatkan keputusan itu.

"Alhamdulillah, saya lulus semua subjek mata pelajaran dan layak mendapat sijil SPM dan itu yang penting. Malah, saya pun dah buat sehabis baik untuk keputusan ini.

"Sekarang, saya merancang mahu teruskan pengajian dalam bidang muzik. Saya bercita-cita nak mendalami muzik baharu masa kini untuk kerjaya seni pada masa akan datang," katanya.

Menurut Erin, minat mendalam pada bidang nyanyian mendorongnya untuk lebih berani menerokai pelbagai ilmu dan pengalaman baharu dalam muzik serta seni persembahan. 

Disiarkan pada: June 13, 2021 @ 2:07pm
d