rap

Naim Daniel tak kisah calon isteri lebih berkedudukan

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi popular Naim Daniel, 23, tidak kisah jika calon isterinya suatu hari nanti seorang yang berpendidikan tinggi, berharta dan ada kedudukan lebih bagus daripadanya.

Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin berkata, kaum lelaki tidak sepatutnya rasa tercabar dengan wanita sebaliknya perlu menyokong serta saling melengkapi di antara satu sama lain.

"Kalau saya dapat isteri suatu hari nanti, itu adalah tanggungjawab saya sokong apa saja untuk isteri serta kakak atau adik perempuan kita mengejar cita-cita yang boleh menaikkan daya keyakinan mereka.

"Kita perlu saling melengkapi. Buat apa nak risau kalau dapat kekasih atau isteri yang berkedudukan kaya. Tidak patut wujud rasa tercabar kepada segelintir lelaki.

"Ia adalah hal yang baik. Saya sukakan wanita yang berkerjaya, berilmu dan suka mencari ilmu kerana perkara itu sebenarnya meningkatkan moral kita bukan sebagai lelaki atau perempuan, tapi sebagai manusia sendiri," katanya.

Penyanyi Sumpah itu juga berpendapat tidak harus wujud mentaliti yang meletakkan taraf kaum wanita lebih rendah daripada lelaki.

"Sampai bila pula nak pijak kaum wanita dan meletakkan mereka di tahap yang mendatar sahaja? Kenapa tidak kaum lelaki menganggap perkara itu satu persaingan sihat.

"Kita sama-sama menuju ke arah perkara yang baik untuk diri sendiri kita jugalah untuk memperbaiki diri. Tiada masalah pun rasanya," katanya.

Disiarkan pada: June 16, 2021 @ 12:43pm
d