rap

Amir Raja Lawak jual air di tepi jalan

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pelakon dan pelawak Amir Raja Lawak, 32, mengakui tidak kisah bersengkang mata setiap hari mengusahakan perniagaan air minumannya demi kelangsungan hidup selepas aktiviti seni tergendala sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Amir atau nama penuhnya Mohammad Amirullah Azmi berkata, aktiviti hariannya banyak dihabiskan membuat air minuman itu dan berniaga di gerai tepi jalan miliknya di Prima Saujana, Kajang.

Menurut Amir, dia bersyukur punca pendapatan daripada perniagaan itu cukup untuk membeli keperluan harian biarpun keuntungan diperoleh tidak banyak.

"Setiap hari saya turun berniaga sekitar jam 11.30 pagi hingga 6.30 petang. Kemudian saya pulang rumah, terus sambung buat air lagi pada waktu malam.

"Seawal jam 7 pagi pun, saya sudah bangun untuk buat lagi sebelum bersiap membuka gerai. Disebabkan saya kena menggaji pembantu gerai, adalah dapat keuntungan bersih dalam RM200.

"Tapi, tak kisahlah asalkan ada juga pendapatan untuk beli keperluan harian, itu sudah memadai. Rasa penat belakang kira, asalkan saya dapat menampung belanja sepanjang PKP 3.0 ini," katanya.

Pelakon drama Man Transform itu juga mengakui terharu apabila mendapat sokongan luar biasa daripada orang ramai.

"Kadang-kadang ada pembeli datang awal dan apabila tak nampak saya, mereka ingatkan gerai tak buka. Mereka akan terus hubungi saya untuk bertanya sama ada saya buka gerai.

"Begitu juga pelanggan yang sememangnya sudah menjadi pembeli setia sejak beberapa tahun. Perniagaan ini pun saya sudah usahakan sejak 2017 namun pada tempoh sekarang saja saya buat sepenuh masa," katanya.

Menurut Amir, dia juga sebenarnya terkesan dari segi pendapatan apabila banyak aktiviti seni tergendala.

"Sepatutnya bulan ini, saya terbabit dalam tiga drama. Namun semua sudah ditunda dan saya kena buat inisiatif berniaga ini untuk terus mencari punca pendapatan.

"Tapi, saya okay saja asalkan ada punca pendapatan yang cukup untuk tampung keperluan harian. Lagipun, bukan banyak barang pun saya beli kerana lebih selesa jalani gaya hidup sederhana.

"Biarlah orang nak anggap apa pun memandangkan saya artis, tapi bagi saya tiada keperluan pun nak bermewah-mewah," katanya.

Disiarkan pada: June 17, 2021 @ 1:20pm
d