rap

Neelofa sebak lihat Elyana jalani radioterapi

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Masya-Allah, saya pula nak menangis tengok video ini. Saya kagum sebab Elyana boleh senyum dan ceria dalam kesakitan. Moga Allah kurniakan kesembuhan untuk awak," tulis pengacara popular Neelofa yang sebak melihat keadaan terkini penyanyi Elyana yang berada di hospital untuk menjalani rawatan radioterapi.

Elyana menerusi satu hantaran terbaharu di Instagram meluahkan rasa teruja apabila menerima hadiah istimewa iaitu koleksi tudung Naelofar milik Neelofa.

"Saya sangat gembira hari ini. Nak dijadikan cerita saya bawa satu tudung saja ke hospital, tiba-tiba Neelofa bagi saya pelbagai koleksi tudung miliknya.

"Memang rezeki dan sangat bermakna. Terima kasih Neelofa. Saya tak sabar nak lihat koleksi dalam bungkusan ini sambil proses memasukkan susu ke dalam badan," katanya.

Menerusi video yang dikongsikan, Elyana turut memakai koleksi tudung Naelofar dan mengakui selesa memakainya.

Walaupun wajahnya kelihatan sedikit pucat, Elyana dilihat kuat dan sempat memberikan ucapan kepada Neelofa.

"Baru habis radioterapi terus dapat hadiah. Alhamdulillah. Semoga Neelofa murah rezeki dan bahagia selalu," katanya.

Terdahulu, Elyana mengesahkan dirinya menghidap kanser limfoma sejak 10 tahun lalu. Kanser terbabit juga sudah merebak ke rahim, hati dan pangkal peha.

Bagaimanapun, dia tetap positif dan berusaha untuk kuatkan semangat untuk lebih sihat pada hari-hari yang mendatang.

Disiarkan pada: June 17, 2021 @ 9:01pm
d