rap

Harap magis Budak Tebing 2

Oleh Syafil Syazwan Jefri

DRAMA bersiri berkisar masalah sosial dalam kalangan remaja, Budak Tebing mendapat perhatian ramai sejak ditayangkan.

Dengan rekod 10 juta penonton sepanjang 13 episod bersiaran dalam slot Lestary TV3 tahun lalu, Budak Tebing kini kembali dengan musim terbaharu iaitu Budak Tebing 2.

Drama 13 episod ini menyaksikan gandingan semula pelakon utama Adam Lee sebagai Arif, Aedy Ashraf (Tongki), Eyka Farhana (Ira), Bella Dowanna (Laura), Fariz Isqandar (Yoyol) dan Firdaus Ghufran (Talam).

Tidak ketinggalan barisan pelakon hebat tanah air seperti Fauzi Nawawi sebagai Afendi, Pablo Amirul (Pablo), Syafie Naswip (Paan), Zarina Zainuddin (Sabrina), Nellisa Nizam (Maria) dan Imran Aqil (Pijoy) yang turut memegang watak penting dalam drama ini.

Pengarahnya, Feroz Kader mengharapkan magis sama seperti mana yang pernah terhasil daripada musim pertama Budak Tebing.

Feroz berkata, ia adalah hasil komitmen semua pelakon dan pasukan produksi sekali gus berjaya mencatat jumlah 10 juta tontonan dalam musim pertama.

"Dalam musim pertama, kami hanya bekerja sebaik mungkin dan tak pernah menjangkakan ia akan menjadi fenomena sehingga ke tahap itu," katanya.

Berkongsi mengenai keserasian antara semua pelakon utamanya, Feroz berkata, mereka kini menjiwai watak masing-masing dengan lebih baik.

"Dalam musim pertama, mereka masih lagi dalam proses untuk mengenali dan menjiwai watak. Dalam musim kedua ini, mereka sudah mampu membawakan setiap watak dengan begitu baik.

"Perkembangan watak setiap daripada mereka juga lebih matang. Apabila semua sudah hebat-hebat belaka, kerja saya sebagai pengarah pun tak menjadi terlalu sukar," katanya.

Budak Tebing 2 kesinambungan Budak Tebing di mana Tongki, Arif dan Talam terpaksa meneruskan kehidupan masing-masing apabila gagal ke Pusat Latihan Polis (Pulapol).

Tongki menjaga bapanya sambil bekerja namun dia sering disabotaj, manakala Arif menghadapi kesulitan berhadapan dengan Yoyol yang enggan menerima kepulangan Afendi, bapa mereka yang muncul secara tiba-tiba.

Budak Tebing 2 akan mengisi slot Lestary bermula jam 9 malam ini. Ia akan ditayangkan setiap Rabu hingga Sabtu jam 9 malam dan turut disiarkan melalui perkhidmatan penstriman iQiyi pada hari yang sama selepas siaran di TV3.

Disiarkan pada: June 18, 2021 @ 6:53am
d