rap

Penyanyi The Brain Connection meninggal dunia

Oleh Farihad Shalla Mahmud

Kuala Lumpur: Penyanyi kumpulan popular era 1980-an, The Brain Connection, Kamal Halim, 58, meninggal dunia akibat komplikasi hati di kediamannya di Sik, Kedah, jam 9.30 malam tadi.

Berita pemergian Kamal disahkan sahabat yang juga komposer dan bekas anggota kumpulan The Brain Connection yang popular dengan lagu Aku Dan Kenangan, Manan Ngah.

Manan memaklumkan Kamal atau nama sebenarnya, Abd Halim Awang Ibrahim meninggal dunia dipercayai akibat komplikasi hati.

"Saya dimaklumkan berita pemergiannya arwah, tengah malam tadi. Sebagai sahabat yang juga rakan dalam anggota kumpulan The Brain Connection, sudah tentu pemergiannya amat menyedihkan.

"Difahamkan, arwah meninggal dunia akibat organ hati tidak berfungsi dengan baik hingga menjejaskan organ dalaman lain," katanya.

Komposer yang terkenal menerusi lagu Sekadar Di Pinggiran dan Merisik Khabar itu berkata, berdasarkan maklumat yang diterima menerusi keluarga terdekat, jenazah sahabatnya itu akan dikebumikan hari ini.

Berita duka itu turut dikongsi Manan dalam akaun Facebook berserta gambar kulit album sulung yang pernah dirakamkan bersama sebelum ini.

"Sehari selepas memuat naik video lagu terbaharu tentang kematian seniman dan pemuzik ternama melalui lagu Simfoni Yang Pulang, 24 jam kemudian iaitu semalam saya diberitahu mengenai kepulangan penyanyi asal Aku Dan Kenangan, Kamal Halim ke rahmatullah.

"Semoga diperoleh kesudahan yang baik-baik buat Aleng Ngaji yang pernah menjadi johan musabaqah Al-Quran Malaysia peringkat kanak-kanak," tulisnya.

Turut meluahkan kesedihan berikutan pemergian Allahyarham Kamal di media sosial adalah anggota kumpulan nasyid Rabbani, Mohd Asri dan Muniff Hijjaz.

Selain menyanyi, arwah juga mencipta lagu. Antara penyanyi yang pernah mendendangkan lagunya termasuklah Datuk Jamal Abdillah, Lestari, EYE termasuk kumpulan nasyid Hijjaz, Diwani, Zikra dan Mestika.

Pada 2014, Allahyarham Kamal pernah dikatakan meninggal dunia, namun tampil menafikan berita yang tersebar.

Tamat

Disiarkan pada: June 18, 2021 @ 7:04pm
d