rap

Wani syukur rezeki tak terjejas

Oleh Najiy Jefri

PENYANYI Wani Kayrie bersyukur apabila pendapatannya tidak terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang dilaksanakan ketika ini.

Wani berkata, dia kini aktif mengacarakan program Road To Success SPM 2021 di saluran pendidikan, Didik TV yang bersiaran secara langsung.

"Alhamdulillah rezeki saya masih berjalan apabila masih diberi kepercayaan untuk mengendalikan Didik TV terbitan Kementerian Pendidikan Malaysia iaitu program Road To Success SPM 2021.

"Saya bersyukur dengan rezeki yang Tuhan berikan ini. Dalam masa sama, saya juga bersimpati dengan nasib segelintir penggiat seni dan kru belakang tabir yang terjejas serta mengharapkan gaji dalam keadaan sukar seperti ini.

"Saya pun mujurlah dapat peluang untuk ceburi bidang pengacaraan. Ia kini satu-satunya punca pendapatan saya selain menerima tawaran kempen di media sosial," katanya.

Siapa sangka, kebijaksanaan dan gaya penyampaian bersahaja yang ditonjolkan membuatkan Wani meraih perhatian netizen yang rata-rata memuji gaya penyampaiannya sebagai pengacara.

"Sejujurnya saya sangat terharu dengan pujian dan respons baik daripada orang ramai. Lagipun ini adalah pengalaman kali pertama saya mengacarakan program secara formal.

"Saya akui peluang keemasan ketika menemu bual Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengubah cara penyampaian saya supaya menjadi seorang pengacara yang lebih baik.

"Saya juga perasan sejak temu bual itu dilakukan bersama Afieq Syazwan, saya menerima maklum balas yang baik. Bagi saya, setiap apa yang kita lakukan perlu bermula dengan usaha dan latihan," katanya.

Didik TV boleh ditonton setiap hari menerusi saluran ntv7 bermula jam 7 pagi hingga 12 tengah malam.

Menyentuh mengenai pembabitannya dalam drama bersiri terbitan JS Pictures Sdn Bhd berjudul Ratu Ten Pin, Wani berkata, dia teruja ketika bekerjasama dengan penerbit Sheila Rusly dan Jinggo.

"Saya memegang watak sebagai Suzana. Saya akui pengalaman bekerja dengan JS Pictures sangat berharga dan saya banyak belajar mengenai teknik lakonan dengan baik.

"Walaupun pada awal penggambaran kena tegur tapi saya tak kisah asalkan mereka berpuas hati dengan watak yang saya bawa," katanya.

Disiarkan pada: June 19, 2021 @ 6:30am
d