rap

'Saya tak fikir lagi soal kahwin, ibu bapa pun tak tanya' - Azaria Tagaya

Oleh Wartawan HM

Kuala Lumpur: Personaliti TV3, Azaria Tagaya mengakui perkahwinan campur di antara ayahnya yang berketurunan Jepun dan ibu, keturunan Pakistan membuatkan mereka terbuka dalam soal jodoh.

Azaria, 36, atau nama sebenarnya Azaria Tagaya Norio Tagaya berkata dia juga tidak pernah ditanya soalan tipikal berkenaan jodoh berbanding orang lain.

"Pada usia ini, saya belum fikir kahwin mungkin sebab sibuk kerja. Saya gembira dengan kerja, jarang keluar melepak dan tak kenal dengan ramai orang.

"Ayah dan emak bukan Melayu, jadinya mereka tak pernah tanya soal kahwin, teman lelaki atau jodoh. Mereka tak pernah paksa dan saya pun tiada tekanan langsung.

"Malah, saya boleh buat apa yang disukai. Ketika saya berhasrat nak sambung belajar, emak sangat menyokong dan suruh percepatkan," katanya kepada Harian Metro.

 Menurutnya, dia dibesarkan di ibukota sejak kecil dan tidak mempunyai kampung atau saudara mara.

"Saya tiada kampung dan membesar di Gombak serta Kuala Lumpur. Kami hanya dua beradik dan abang saya bekerja di Jepun.

"Jadi, saya tak pernah lalui suasana seperti balik kampung pada hari raya dan bertemu sanak saudara yang akan bertanya soalan kahwin.

"Kawan-kawan wanita dan lelaki saya pun sekepala, tak ada seorang pun yang romantik. Sebelum pandemik Covid-19, kami suka keluar minum kopi seminggu sekali. Sekarang, kami hanya berhubung secara virtual saja," katanya.

Penyampai berita Buletin Utama dan Nightline serta hos Money Matters ini berkata, tiada perubahan ketara dalam kehidupannya sebelum dan semasa pandemik Covid-19 ini kerana dia suka menghabiskan masa di rumah.

"Saya sangat menghargai masa ketika bersendirian. Saya tak suka karaoke, main boling atau tengok wayang. Hanya duduk di rumah dan berehat," katanya.

Disiarkan pada: June 20, 2021 @ 2:37pm
d