rap

Almy Nadia hamil 15 minggu, Fizz Fairuz teringin anak lelaki

Oleh RAP HM

Kuala Lumpur: "Nanti, saya bagi awak mengandung banyak-banyak," ungkapan ringkas penuh makna ditulis pelakon Datuk Fizz Fairuz pada kapsyen video dikongsikanya di Instagram cukup lucu dan menghiburkan.

Bagaimanapun, menerusi perkongsian video 'kejutan istimewa' itu juga, Fizz memaklumkan dia mendapat hadiah Hari Bapa yang paling bermakna apabila isterinya, Datin Almy Nadia kini hamil, anak keempat mereka.

Dalam perkongsian video di Instagram itu, Fizz turut memaparkan foto dua alat ujian kehamilan berserta ucapan tahniah daripada anak-anaknya.

"Isteri saya tidak hamil anak kembar, tapi dia buat ujian kehamilan sebanyak dua kali menggunakan alat berbeza. Alhamdulillah, rezeki kami sekeluarga lagi.

"Sekarang, usia kandungan Almy sudah 15 minggu. Malah, ada yang cakap ini rezeki anak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan macam-macamlah," katanya.

Ujar Fizz, dia berlapang dada menerima rezeki cahaya mata itu serta berharap segala urusan kehamilan dan proses bersalin isterinya nanti akan dipermudahkan Allah.

Dalam masa sama, Fizz juga mengaku dia turut berkeinginan semoga kandungan Almy pada kali ini akan memberikan mereka rezeki anak lelaki pula.

"Namun, walau apapun semua itu ketentuan-Nya. Kalau boleh, memanglah kami teringin nak timang anak lelaki sebab sekarang semuanya 'heroin'. Tapi soal jantina, kami sentiasa terima dengan hati terbuka," katanya.

Terdahulu, Almy pernah dilaporkan mengalami keguguran sebanyak dua kali. Pasangan pelakon ini mendirikan rumah tangga pada 26 April 2014 dan kini mempunyai tiga anak perempuan serta seorang anak angkat.

Disiarkan pada: June 20, 2021 @ 9:33pm
d