rap

Hati Shuib luluh, nekad tuntut keadilan buat pekerja dilanggar lari!

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Pelawak dan ahli perniagaan, Shuib Sepahtu, 36, memaklumkan sedia mengambil tindakan lanjut terhadap invividu yang melanggar lari pekerjanya dikenali Muhammad Afiq, dalam kejadian kemalangan di Muar, Johor, kelmarin.

Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad berkata, pihaknya akan menuntut keadilan untuk Muhammad Afiq yang mengalami kecederaan teruk dalam  kemalangan itu termasuk jari patah, retak tulang peha, dan kulit muka terkoyak. 

Menurut Shuib, setakat ini pesalah berkenaan belum lagi ditemui namun, butiran lanjutnya sudah ada dalam tangan polis untuk dijejaki sehingga tertangkap.

"Luluh hati saya apabila mendapat perkhabaran mengenai kemalangan itu. Muhammad Afiq baharu saja kerja sebulan dengan kami, tiba-tiba dugaan sebegini menimpanya pula.

"Lebih terkilan, dia dilanggar lari individu yang tidak bertanggungjawab. Selepas ini, kalau dapat jejaki individu berkenaan, kami boleh ambil tindakan lanjut menerusi peguam syarikat.

"Apapun, sekarang kami serahkan saja kepada pihak polis kerana yakin mereka pasti berjaya menjejakinya. Saya cuma mahukan keadilan buat Muhammad Afiq dan individu itu perlu bertanggungjawab," katanya.

Prihatin terhadap pekerjanya itu, Shuib mendoakan Muhammad Afiq akan kembali sembuh sepenuhnya selain menghulurkan bantuan serta mengalu-alukan dia kembali bekerja dengan mereka semula.

"Paling penting buat masa sekarang adalah dia kembali sembuh sepenuhnya. Menurut doktor, proses pemulihan itu boleh mencecah sehingga enam bulan. Namun, tiada masalah dan kami sedia menunggunya kembali bekerja.

"Daripada pihak kami, pengurusan sudah pun berbincang untuk memberi sumbangan buatnya," katanya lagi.

Terdahulu, Shuib juga meluangkan masa bertanya khabar kepada Muhammad Afiq menerusi sebuah sesi siaran langsung di Instagram. Pemuda itu adalah kakitangan syarikat perniagaan minumannya, Bubblebee di cawangan Muar.

 

 

 

Disiarkan pada: June 21, 2021 @ 12:49pm
d