rap

'Ramai tolak tawaran, alasan produksi baru...'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pelakon Wawa Zainal mengakui tidak terkilan apabila pada awalnya beberapa pelakon wanita 'popular' menolak tawaran berlakon di bawah syarikat penerbitannya, Respected Citizen Production Sdn Bhd.

Wawa, 30, atau nama sebenarnya Nur Hawa  Zainal Abidin berkata tawaran itu bagi melakonkan watak utama kedua atau 'second heroin' menerusi filem sulung terbitan syarikat berkenaan berjudul Sabda Kekasih.

"Dari segi pemilihan watak, saya bersama suami, Aeril dan pasukan duduk berbincang. Malah, dalam filem ini pun hanya ada lima watak utama. Selain saya dan Aeril, ada Fauziah Nawi, Sabri Yunus dan watak Hayla Sofia. 

"Tapi, untuk watak Hayla Sofia itu pening juga nak cari. Ramai pelakon tolak tawran ini termasuk beberapa pelakon popular. Ada yang beri alasan tak berminat, sibuk dan kebanyakannya sebab tak kenal produksi mana.

"Mungkin sebab,  produksi saya masih baharu. Tapi bukan sebab bayaran. Lagi satu kena menjadi 'second heroin' di sisi saya, memang mereka tak naklah kan.

"Saya dan Aeril, okay saja. Tapi, memang agak mencabar. Kami menghubungi ramai artis perempuan ketika itu. Cuma, sebab ini cerita kami, kalau memang tak ada siapa nak, kami sudah ada 'pelan B' macam tukar sikit watak," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Wawa yang juga ahli perniagaan berkata tawaran diberikannya kepada pelakon Sharifah Husna disambut baik.

"Apabila ramai menolak, Aeril cari lagi dan jumpa Instagram Sharifah Husna. Dia tunjuk dan saya terus cakap okay dan cantik orangnya. Ada hikmah semua ini. Kami puas hati dengan penampilan dan lakonan Husna.

"Walaupun masih baharu, dia bagus. Lagi pula, watak Hayla Sofia itu dipaparkan sebagai wanita yang baru balik dari menyambung pengajian di Mesir. Jadi, cara lontaran dialog pun memang kena betul," katanya.

Filem Sabda Kekasih arahan Azhari Zain itu bakal ditayangkan pada 24 Jun ini di Astro First (saluran 480).

Filem romantik Islamik itu menampilkan penulis skrip Abban Namus serta lagu tema Sabda Kekasih nyanyian Daqmie 'feat' Alfa, Rumie Booty.

 

 

 

Disiarkan pada: June 21, 2021 @ 7:30pm
d