rap

Lan Solo jadi mangsa 'dengki' lagi

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Penyanyi Lan Solo, 36, terkilan dirinya terus menjadi mangsa 'dengki' sesetengah pihak sehingga disaman apabila individu itu membuat aduan kepada pihak berkuasa.

Dalam kejadian terbaru, Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof disaman Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) akibat menghalang lalu lintas di kawasan kedai runcitnya di Puchong, Selangor.

Menurutnya, dia kecewa kerana individu yang membuat aduan itu adalah orang sekeliling dan hairan kerana mereka sentiasa tidak puas hati kepadanya.

"Saya kena saman lagi. Orang yang membuat aduan itu pun orang di sekeliling sini saja. Saya pun tak tahu nak cakap apa. Apa masalah anda sebenarnya? Saya cari makan saja kot. Sudahlah musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) begini, jualan pun tidak menentu," katanya.

Penyanyi lagu Berpisah Tanpa Rela itu turut menasihatkan individu berkenaan supaya bertindak berani tampil bersemuka dengannya dan bukan terus-menerus mengadu kepada pihak berkuasa.

"Kalau anda rasa tak puas hati dengan saya atau kedai saya, beritahu saja. Tak payahlah sampai mengadu kepada pihak berkuasa hingga menyusahkan mereka datang ke sini untuk tengok dan keluarkan saman.

"Saya tak kisah, mereka buat kerja mereka tapi anda kenapa? Saya rasa sudah beberapa kali sudah saya terkena. MBSJ pun dah saman, anda puas hati kan? Terima kasih banyak-banyak, semoga urusan anda dipermudahkan dunia akhirat," katanya menerusi sebuah video di Instagram.

Lan menjalankan perniagaan runcit dan makanan dari Sabah serta Sarawak iaitu Lan Solo Borneo Mart di Taman Puchong Prima sejak setahun lalu.

Disiarkan pada: June 22, 2021 @ 4:45pm
d