rap

Luah hasrat bersara

Oleh Najiy Jefri

SIAPA sangka, selepas hampir 15 tahun berkecimpung dalam industri lakonan, Rita Rudaini meletakkan sasaran untuk bersara daripada kerjaya itu sebelum usianya mencecah 50 tahun.

Kata ibu tunggal berusia 45 tahun itu, perancangan terbabit sudah difikirkan sekian lama kerana mahu menikmati kehidupan sebenar selain mahu menikmati kehidupan bersama dua cahaya mata tercinta.

"Sebenarnya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini saya rasa puas dapat duduk di rumah memasak, tengok anak belajar dan banyak lagi.

"Ikutkan saya punya perancangan dalam tiga atau empat tahun lagi sebelum usia mencecah 50 tahun, saya nak berhenti berlakon.

"Sebagai persediaan, saya buat perniagaan produk wangian dan selagi ada peluang saya ambil walaupun kecil, janji ada rezeki. Asalkan anak-anak ada tempat berlindung dan cukup makan pakai, saya bersyukur," katanya ketika sesi secara langsung program bual bicara MySuperHeroes: Bangkit Semula yang disiarkan menerusi Facebook Live MySuperHeroes.

Mengakui tidak terlepas daripada melakukan kesilapan, Rita tidak malu mendedahkan pernah melalui zaman gelap apabila tidak menjaga solat dengan sempurna.

Bukan berniat mahu membuka 'aib' dirinya sebaliknya dia berharap apa yang dikongsikan menjadi pengajaran kepada orang lain supaya jangan terlampau mencintai manusia hingga lupa untuk bersyukur.

"Allah bagi kita ujian kerana ada sebab. Jujur saya katakan, saya kini mula menjaga solat. Dulu tidak kerana saya terlampau mencintai manusia. Saya sudah kahwin, ada suami, ada anak, tetapi tak bersyukur.

"Apabila ditimpa ujian baru saya beringat. Allah tak tinggal saya, itu yang buat saya semakin kuat sebab tahu Allah sayang saya. Dari situ saya semakin menjaga hubungan dengan Allah.

"Mungkin Allah nampak kelemahan saya sampai ditarik satu demi satu orang yang saya sayang supaya saya kembali kepada-Nya.

"Mungkin kalau saya masih di situ, saya takkan beringat dan berubah menjadi hamba-Nya yang lebih baik," katanya.

Menyentuh mengenai bual bicara MySuperHeroes: Bangkit Semula, program anjuran pelajar tahun akhir Komunikasi Massa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu adalah salah satu usaha membantu ibu dan bapa tunggal yang memerlukan.

Acara itu turut menyasarkan kutipan RM10,000 bagi menampung pembelian barangan keperluan asas kepada golongan terpilih.

Selama sejam bersiaran, bintang Datin Dairies itu turut berkongsi pengalaman sebagai ibu tunggal kepada dua cahaya mata, Airit Rayyan Rizqin dan Airit Qaqa Arjuna hasil perkahwinannya dengan bekas suami yang juga pemain bola sepak, Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Disiarkan pada: June 24, 2021 @ 6:50am
d