rap

Hisyam Hamid tak layan mesej godaan peminat

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: "Tak mungkin tiada langsung rasa cemburu, tetapi isteri seorang yang memahami dan profesional," luah pelakon Hisyam Hamid mengenai sikap isterinya, Rosmawati Hanafi yang tidak pernah menunjukkan tanda cemburu sepanjang dia bergandingan dengan ramai pelakon wanita di Malaysia.

Hisyam yang sudah lebih tujuh tahun berhijrah ke Kuala Lumpur berkata, isterinya sangat memahami kerjayanya sebagai pelakon, malah sentiasa menegur sekiranya melihat tiada keserasian antara dia dengan pelakon wanita yang digandingkan.

"Kalau dia lihat tiada keserasian antara saya dengan pelakon wanita yang digandingkan, isteri akan tegur seperti saya kelihatan kekok.

"Dia adalah pengkiritik tetap saya. Tanpa sokongan dia tak mungkin saya mampu bertahan sehingga hari ini

"Sebagai suami, saya tidak sesekali mempersia-siakan kepercayaan diberikan isteri. Jadi, saya perlu menjaga batasan untuk mengelakkan perkara yang tidak sepatutnya," katanya ketika ditemui pada sidang media secara virtual mempromosikan drama Hatimu Sedingin Salju terbitan Orangetree Production Sdn Bhd, baru-baru ini.

Menurut Hisyam, biarpun dihujani pelbagai mesej termasuk godaan peminat di akaun Instagram miliknya, namun dia sentiasa mengingatkan dirinya untuk tidak melayan mesej dihantar.

Hisyam berkata, isteri dan anak-anak adalah 'aset' paling bernilai yang perlu dijaga dengan baik sekali gus memberi peringatan kepada dirinya.

Dalam pada itu, Hisyam bersykur mempunyai sumber pendapatan lain melalui restoran yang diusahakan walaupun sudah sebulan tidak menjalani penggambaran akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

"Walaupun ada pendapatan restoran, tapi tidak dinafikan sedikit terjejas kerana pelanggan hanya dibenarkan membungkus makanan sahaja," katanya.

Disiarkan pada: June 27, 2021 @ 4:30pm
d