rap

Mereng jadi medan ujian

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

KEMUNCULAN bakat baharu, Noor Ayu Fatini yang lebih dikenali sebagai Bunga pada 2019 ternyata mencetuskan fenomena tersendiri apabila penampilannya berbeza dengan penyanyi sedia ada.

Bunga, 21, mula menjadi tular apabila tampil mengenakan baju kurung dan berhijab sambil melontarkan bait-bait rap ketika muncul dalam program 16 Baris yang dijurikan Joe Flizzow.

Tidak ketinggalan dia juga berkolaborasi dengan penyanyi Aizat Amdan menerusi lagu 'Dup Dup' serta Amzar Sabri menerusi lagu berjudul '300 Saat'.

"Saya bersyukur kehadiran saya di dalam industri nyanyian disambut baik oleh peminat yang mungkin menginginkan sesuatu berbeza.

"Saya turut berkolaborasi dengan 'Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris dalam lagu berjudul 'Intan Payung' yang dilancarkan pada Februari lalu.

"Alhamdulillah, muzik video lagu ini sudah mencecah 1 juta tontonan di Youtube sejak dilancarkan pada Mei lalu," katanya.

Dia mengakui sering mendengar lagu nyanyian Noraniza sejak zaman kanak-kanak lagi dan tidak menyangka dapat berkolaborasi dengan penghibur ternama itu.

"Ini peluang keemasan dan saya menang tak disangka. Mulanya, lagu ini dihasilkan untuk nyanyian solo.

"Lagipun sebelum ini, saya sendiri sering mengingatkan diri sendiri supaya kukuhkan dulu karya dan nama.

"Saya nak pastikan diri saya berada di satu peringkat yang benar-benar kukuh sebelum berkolaborasi dengan artis legenda. Namun proses ini berlaku dengan pantas," katanya.

Terkini, ujian besar menanti Bunga apabila tampil dengan single solo terbaharunya berjudul Mereng.

"Ia hasil karya saya sendiri bersama komposer lain seperti John Jeevasingham, Karim Karam, Romal Melvyn dan Ezra Kong.

"Lagu genre hip hop tapi diberi sentuhan elemen 'elektro pop' ini mampu menangkap telinga sesiapa sahaja dengan melodi 'catchy' dan lirik yang santai.

"Saya berharap agar lagu ini bukan saja mendapat reaksi positif dari peminat hip hop, tapi diterima baik oleh peminat muzik arus perdana," katanya.

Sememangnya kehadiran Bunga dengan identiti tersendiri ini pastinya mampu memeriahkan lagi industri muzik tanah air.

Sekali gus ia menggalakkan lagi gadis sepertinya untuk cuba berkecimpung dalam arena muzik hip hop.

"Banyak sokongan yang diterima daripada pelbagai pihak sepanjang saya berada dalam bidang seni ini.

"Syukur juga kerana single Mereng dipilih sebagai runut bunyi untuk telefilem berjudul Holiday Aji Tom yang akan disiarkan nanti.

"Malah potongan babak telefilem ini juga diselitkan dalam muzik video rasmi Mereng yang menampilkan Jalil Hamid, Syafiq Kyle dan barisan pelakon lain," katanya.

Single Mereng boleh didapati di semua platform digital bermula 25 Jun lalu. Manakala muzik video rasmi Mereng pula boleh ditonton di YouTube Warner Music Malaysia.

Disiarkan pada: June 29, 2021 @ 6:23am
d