rap

'Terima kasih PM, harap bulan depan boleh 'shooting' - Seniman

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan dengan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang memperuntukkan RM100 juta bagi industri seni dan kreatif tempatan.

Setiausaha Agung Seniman, Hafiz Nafiah berkata, mereka sedia memantau pelaksanaan peruntukan itu supaya benar-benar sampai ke tangan yang memerlukan.

Katanya, Seniman amat berterima kasih kepada keprihatinan kerajaan dengan rintihan orang-orang seni yang amat terkesan dalam tempoh Perlaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang mempunyai empat fasa keseluruhannya.

"Seniman akan memantau pelaksanaan agihan peruntukan RM100 juta untuk penggiat seni tanah air supaya ia sampai kepada mereka yang memerlukan. Secara tidak langsung dapat meringankan beban penggiat seni yang masih tidak dibenarkan beroperasi sehingga hari ini," katanya.

Hafiz berkata, pihaknya juga berharap industri seni dan kreatif akan dibenarkan untuk kembali beroperasi secepat mungkin memandangkan ia sudah tidak mampu bertahan.

"Jika dilihat semula PPN ini, industri kreatif akan kembali beroperasi pada fasa ketiga nanti selepas kes-kes jangkitan Covid-19 berkurangan bawah nilai ambang 500 kes sehari. Jangkaannya dalam sekitar bulan Oktober nanti.

"Untuk pengetahuan pihak kerajaan, industri seni dan kreatif sudah tidak mampu lagi bertahan sekiranya kami tidak dibenarkan beroperasi bulan depan. Segala peruntukan diberikan dalam pakej-pakej sebelum ini tidak bermakna sekiranya kami masih tidak dibenarkan beroperasi," katanya.

Dalam pada itu, Seniman percaya industri itu juga adalah sektor yang penting tidak pernah mencetuskan kluster-kluster jangkitan setakat ini berbanding sektor perkilangan.

"Jika sektor ini perkilangan dibenarkan beroperasi mengapa industri seni dan kreatif tidak dibenarkan? Kami sedia mematuhi segala garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) tanpa sebarang masalah.

"Industri seni dan kreatif tidak pernah mencetuskan kluster-kluster membabitkan penggambaran setakat hari ini. Penggiat seni sentiasa patuh kepada SOP serta garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

"Seniman sekali lagi menggesa agar industri seni dan kreatif dibenarkan beroperasi bulan depan. Ia demi kelangsungan hidup warga kerja industri seni dan kreatif yang amat terkesan memandangkan 90 peratus daripada kami adalah bekerja berdasarkan projek," katanya.

Disiarkan pada: June 29, 2021 @ 6:33pm
d