rap

Soalan selebriti positif dadah tak dijawab

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Sesi siaran langsung pelakon Zoey Rahman di Instagram bersama Zarina Anjoulie malam ini dihujani soalan mengenai kesahihan berita penangkapan selebriti wanita positif dadah.

Sepanjang sesi itu, Zoey dan Zarina lebih banyak bercakap mengenai kecantikan wajah, pemakaian pendakap gigi dan vaksin.

Sementara itu, komen warganet tidak dibaca terutama membabitkan soalan panas iaitu isu penyalahgunaan dadah.

Sesi yang berlangsung antara 10 hingga 15 minit itu sempat ditonton lebih 4,000 pengguna Instagram sebelum Zarina keluar dari sesi itu.

Selepas itu, Zoey sempat membaca beberapa komen dan menjawab soalan mereka.

"Kenapa tanya saya, manalah saya tahu. 'News' apa?" katanya.

Zoey juga membidas komen yang memburukkan Zarina.

"Tak baik cakap dia macam tu," katanya ringkas.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang selebriti wanita ditahan kerana disyaki terbabit dengan penyalahgunaan dadah di sebuah rumah di Kampung Chalet, Nilai, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, wanita berusia 34 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai yang membuat serbuan di rumah berkenaan.

Suspek diberi jaminan polis selepas selesai memberi keterangan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM5,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Disiarkan pada: June 29, 2021 @ 11:51pm
d