rap

Deja Moss pernah kemurungan teruk selama empat tahun

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penyanyi Deja Moss, 47, mendedahkan dia pernah mengalami kemurungan teruk selama empat tahun dan hampir mahu membunuh diri sebanyak tiga kali.

Deja atau nama sebenarnya, Sharifah Hadijah Wan Moss berkongsi mengenai rahsia besar hidupnya itu ketika sesi sidang media secara virtual sempena pelancaran buku biografinya berjudul Hidupku Takdirku.

Deja yang dikenali dengan lagu Asmara ini berkata, masalah itu dialaminya pada 2004 hingga 2008 yang memerlukan dia mendapat nasihat serta rawatan daripada pakar dan bergantung dengan ubat-ubatan yang dibenarkan.

"Kemurungan itu berpunca daripada gangguan yang saya alami kerana tidak boleh tidur malam, fikiran tak menentu, jiwa kosong dan menjalani kehidupan bersendirian.

"Ketika itu, saya belum lagi berkahwin dengan bekas suami, Azfendy Azzuddin. Jadi, saya hidup sendiri dan kebanyakan masa dihabiskan di rumah. Malah, saya juga mulanya tidak sedar masalah tidur dialami itu adalah satu gangguan yang perlu diubati," katanya.

Bagaimanapun, sokongan semangat daripada ibu bapa dan seorang sahabat baiknya mendorong dia untuk berjumpa doktor untuk mendapatkan nasihat dan menjalani rawatan.

"Ketika disahkan mempunyai masalah kemurungan, memang saya malu nak berkongsi dengan orang kerana bimbang tanggapan diberikan mereka. Maklumlah, orang pasti akan anggap saya gila.

"Jadi, saya simpan rahsia ini sangat lama sehingga sekarang ia didedahkan sepenuhnya dalam buku Hidupku Takdirku.

"Perkongsian ini saya buat kerana mahu membantu memberi semangat kepada orang lain yang mengalami masalah ini untuk bangkit. Ditambah, penulisan kisah hidup saya dalam buku ini adalah 'buah tangan terakhir' buat peminat sebelum saya berangkat ke Chicago, Amerika Syarikat (AS) Julai ini untuk menetap di sana bersama suami," katanya.

Deja berhijrah ke sana kerana mahu mahu mengikut suaminya, Maher Khani yang juga seorang ahli perniagaan berketurunan Amerika Syarikat-Syria yang kini berada di AS.

Mereka berkahwin di Chicago pada Jun 2019 selepas enam bulan Deja bercerai.

Terdahulu, Deja pernah mendirikan rumah tangga dengan Azfendy pada 30 Ogos 2008 dan bercerai talak satu pada Oktober 2018 dan mereka juga tidak dikurniakan anak.

Bercerita mengenai buku biografi itu, Deja berkata, ia terlalu istimewa kerana dia berkongsi semua rahsia dan kisah perjalanan kehidupannya meliputi kerjaya, masalah kemurungan, rumah tangga, perceraian, berkahwin semula dan menuju bahagia.

"Alhamdulillah, sekarang saya sudah bebas sepenuhnya daripada kemurungan. Semoga buku ini dapat berkongsi semangat saya yang pernah jatuh suatu ketika dulu kepada orang ramai yang membacanya supaya untuk kembali bangkit menggapai bahagia.

"Dalam hidup kita ini, hanya kita saja yang mampu mengharunginya sendiri. Kita kena sedar untuk bangkit dan cari penyelesaian. Kalau ada masalah masalah seperti kemurungan atau apa saja membabitkan mental dan emosi, segera berjumpa doktor untuk rawatan," katanya.

Menurut pelakon dan usahawan ini lagi, kemurungan adalah satu gangguan dan perlu diubati.

Katanya, usah sesekali malu untuk mendapatkan rawatan hanya kerana kita terlalu memikirkan pandangan orang lain.

Disiarkan pada: June 30, 2021 @ 6:52pm
d