rap

'Rakan-rakan urus jenazah, pengebumian Tony'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

 

Kuala Lumpur: Allahyarham Tony Iskandar disahkan negatif Covid-19 dan jenazah bekas pemain bass kumpulan Spider itu sudah boleh dituntut oleh waris bagi urusan pengebumian, hari ini.

Penyanyi juga vokalis kumpulan Spider, Tam Mustafah berkata jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Sungai Buloh pada jam 4 petang selain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Pihak Luncai Emas dan rakan-rakan akan menguruskan pengebumian Tony sehingga selesai. Jenazahnya akan dikebumikan sebelum Asar hari ini. Namun bilangan yang dapat turut serta agak terhad kerana perlu ikut SOP Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0," katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, Allahyarham ditemui tidak sedarkan diri dalam biliknya di studio Luncai Emas oleh jurutera muzik, Hanafi dan dipercayai menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 1 pagi, semalam.

Tony yang memeluk agama Islam pada 2004 mempunyai bilik persendirian di studio itu bagi melakukan kerja berkaitan muzik dan penghasilan lagu.

Allahyarham pernah mendirikan rumah tangga, namun tidak bertahan lama dan tidak dikurniakan cahaya mata.

Sementara itu, Pengarah Produksi Luncai Emas, Keon Omar berkata, pihaknya akan berusaha mengebumikan jenazah pada hari ini juga.

"Mungkin selepas Zohor boleh ambil dari hospital dan bergantung pada kebenaran mereka.

"Adik Allahyarham mewakili keluarganya datang dari Johor untuk urusan pengkebumian bersama kami. 

"Jenazah dibawa ke Surau Ikhwan di Sungai Buloh untuk solat jenazah, namun dengan SOP hanya 12 orang. Selepas itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Sungai Buloh," katanya.

Dalam perkembangan lain Koperasi Industri Muzik Malaysia Berhad (Kopstar) akan menganjurkan Majlis Tahlil & Bacaan Yassin buat Allahyarham Tony pada malam ini.

Ia akan berlangsung menerusi Facebook Kopstar jam 8 malam ini di bawah bimbingan anggota kumpulan nasyid Simfoni iaitu Imtiaz Ikrimal Rosslee.

 

Disiarkan pada: July 1, 2021 @ 1:17pm
d