rap

Kongsi kisah dalam buku

Oleh Norhayati Nordin

LEBIH setahun hidup berjauhan dengan suami tercinta, penyanyi Deja Moss kini lega apabila menghitung waktu untuk berangkat ke Chicago, Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi dan terus menetap di sana.

Menurut wanita berusia 47 tahun ini, sudah tiba masa untuk dia berhijrah ke negara tempat tinggal suaminya bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri serta menguruskan keluarga.

"Usia saya pun tak lama lagi dah mencecah 50 tahun, jadi sampai bila kami nak tinggal berjauhan seperti ini. Lagipun, tempat seorang isteri itu adalah di sisi suaminya. Jadi, saya ingin selalu ada dengan suami.

"Lagipun, akibat Covid-19 yang melanda seluruh dunia ini, saya dah tak bertemu suami lebih setahun. Malah, komunikasi harian kami secara panggilan video dan kiriman mesej saja kerana terpisah jarak yang jauh," katanya.

Pada Jun 2019 lalu, Deja bertemu jodoh kali kedua dengan Maher Khani yang juga seorang ahli perniagaan berketurunan Amerika-Syria yang menetap di Chicago. Malah, mereka juga bernikah di sana.

Ditemui media ketika tampil pada sesi bual santai secara virtual sempena pelancaran buku autobiografinya berjudul Hidupku Takdirku, Deja atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Moss berkata, dia juga sudah tidak menyanyi lagi.

Deja berkata, sejak Covid-19 melanda negara tahun lalu, dia mendapati industri hiburan tanah air terjejas teruk.

Katanya, kebanyakan penyanyi sangat terkesan apabila acara persembahan terbuka tidak dibenarkan.

"Sedih juga melihat situasi industri hiburan ketika ini. Tapi, apa nak buat ini dugaan untuk kita semua. Saya pun untuk menyanyi secara serius, mungkin tidak lagi kerana suami pun tidak membenarkan. Kalau muncul sekali-sekala mungkin boleh untuk mengubat rindu.

"Saya pun tak nak kata akan bersara terus daripada menyanyi. Cuma, dalam keadaan sekarang saya lebih selesa membuat kerja di belakang tabir dengan menulis buku. Ia lebih menenangkan dan hati pun gembira," katanya.

Bercerita mengenai buku autobiografi itu, Deja berkata, ia sangat istimewa kerana dia positif dan bersikap terbuka berkongsi semua rahsia dan kisah perjalanan kehidupannya membabitkan kerjaya, masalah kemurungan, rumah tangga, kemelut perceraian dan berkahwin semula.

"Saya menulis buku ini bermula tahun lalu apabila ramai peminat menghantar mesej bertanya bagaimana saya bangkit semula daripada kekecewaan dialami terutama selepas kegagalan rumah tangga.

"Nak terang satu persatu pada mereka untuk menjawab banyak pertanyaan diberi itu, saya terfikir lebih baik buat buku dan ceritakan semuanya. Pada saya, ia lebih mudah untuk difahami mereka yang membacanya dan jadikan pembakar semangat.

"Dalam kehidupan kita ini, setiap orang pasti berhadapan cerita dan dugaan yang berbeza. Bagaimanapun, hanya kita saja yang mampu mengharunginya sendiri dan harus sedar untuk bangkit mencari penyelesaian.

"Macam kisah hidup saya yang berdepan masalah kemurungan, perkara sebegini tidak boleh diambil mudah. Kita kena cepat sedar dan bertindak dengan berjumpa doktor untuk pemeriksaan serta mendapatkan rawatan.

"Alhamdulillah, saya sekarang sudah bebas sepenuhnya daripada masalah kemurungan. Malah, semua kisah saya kongsi dalam buku ini untuk memberi semangat kepada orang ramai supaya berani bangkit dan kejar bahagia yang diinginkan," katanya.

Menurut Deja, buku setebal 200 halaman itu ditulisnya dengan linangan air.

Katanya, amat menyedihkan apabila kita harus mengenang semula kisah lalu dalam hidup yang menyentuh hati.

Disiarkan pada: July 2, 2021 @ 6:01am
d