rap

Finas serbu syarikat produksi

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) melakukan serbuan terhadap sebuah syarikat produksi yang melakukan penggambaran di sebuah pusat beli-belah di Cheras, di sini, Selasa lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, serbuan yang dilakukan Unit Penguatkuasa, Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Finas itu berjaya mengesan sebuah produksi yang menjalankan aktiviti penggambaran di premis itu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 PKP.

"Saya meminta semua syarikat produksi di negara ini tidak sesekali melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP 3.0 yang kini masih dilaksanakan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Idham berkata, tindakan penguatkuasaan sudah diambil ke atas pihak terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 22 (1) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Akta 244).

"Finas ingin mengingatkan kepada semua syarikat produksi untuk terus mematuhi segala SOP dan garis panduan yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam membendung kes penularan Covid-19 ketika ini.

"Justeru, Finas akan memberi komitmen bertindak lebih agresif dalam menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan pematuhan SOP ketika PKP 3.0 ini serta mengalu-alukan sebarang aduan daripada masyarakat awam sekiranya mengetahui ada aktiviti penggambaran dijalankan," katanya.

Katanya, Finas tidak akan teragak-agak untuk bertindak jika mendapati berlaku pelanggaran SOP membabitkan aktiviti penggambaran yang sememangnya tidak dibenarkan ketika ini.

Disiarkan pada: July 2, 2021 @ 5:28pm
d