rap

Angkat kisah pemain boling

Oleh Syafil Syazwan Jefri

NAMA Sheila Rusly tidak perlu lagi diperkenalkan dalam industri lakonan tanah air.

Kerap muncul dengan lakonan luar biasa, Sheila juga sentiasa hadir dengan idea di luar kotak dalam menyampaikan naskhah drama-dramanya.

Terbaharu, Sheila hadir dengan drama bersiri berjudul Ratu Ten Pin yang mengangkat kisah pemain boling profesional.

Lebih menarik, karya arahan suaminya, Jinggo ini turut menggunakan khidmat Ratu Boling Negara, Shalin Zulkifli.

Sheila berkata, 60 peratus penggambaran Ratu Ten Pin di pusat boling yang menjadi lokasi utama disertai Shalin.

Sheila yang turut berlakon membawa watak sebagai jurulatih boling bernama Maria berkata, pihak produksi memerlukan nasihat daripada pemain profesional bagi memastikan setiap aspek dalam drama ini tepat.

"Kami sendiri tak ada banyak pengetahuan mengenai boling. Jadi, pembabitan Shalin adalah pilihan yang paling tepat.

"Dia membantu dari segi terma-terma yang digunakan, cara permainan, teknik balingan, gerakan dan sebagainya. Jadi, kehadirannya di set sememangnya banyak membantu pelakon yang terbabit.

"Untuk watak sebagai jurulatih, saya pun perlu ada pengetahuan mengenai boling. Kalau tak, drama ini akan menerima kecaman pelbagai pihak andai kata saya salah menyebut sesuatu terma atau apa," katanya.

Menurut Sheila, salah seorang pelakonnya, Nazim Othman pada awalnya mengalami kesukaran untuk menjayakan wataknya.

"Ia cabaran untuk Nazim kerana dia kena menjalani latihan juga kerana watak Arief adalah pemain boling profesional," katanya.

Pada masa sama, Sheila juga bersyukur kerana berjaya menarik pelakon baharu yang juga bekas pemain boling profesional, Syaidatul Afifah untuk turut serta dalam drama bersiri ini.

"Syaidatul adalah pelakon baharu tanpa ada pengalaman berlakon. Namun, dia ada kelebihan kerana memiliki pengalaman mendalam dalam sukan boling.

"Jadi, saya menggunakan kelebihannya itu dan pada masa sama mengasah bakat lakonannya. Manfaat di situ adalah dia tak perlu lagi risau untuk menjayakan watak sebagai pemain boling," katanya.

Berkongsi mengenai cabaran dalam menghasilkan drama bersiri ini, Sheila berkata, tempoh masa 45 hari adalah tempoh yang begitu singkat.

"Proses penggambarannya adalah dalam masa 45 hari. Namun, pelakon-pelakonnya hanya ada masa kira-kira dua minggu untuk menjalani latihan dan itu adalah tempoh yang singkat," katanya.

Selain Sheila, Nazim dan Syaidatul, Ratu Ten Pin turut menampilkan lakonan Elisya Sandha, Fify Azmi, Datuk Seri Eizlam Yusof, Esma Daniel, Lisdawati, Aleeza Kasim. Hazeeq Dean dan Nasz Sally.

Disiarkan pada: July 4, 2021 @ 6:30am
d