rap

Dondang Sayang jadi pilihan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

SEJAK dahulu lagi Dondang Sayang yang menjadi kebanggaan penduduk Melaka, sering dilihat sebagai medium terbaik untuk menyampaikan pengajaran dan mesej penting.

Kata-kata nasihat dan usik mengusik antara pasangan penyanyinya menjadikan Dondang Sayang seronok dinikmati.

Justeru, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), khususnya di Melaka serta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini bekerjasama menganjurkan Pertandingan Dondang Sayang Hibrid bermatlamat menyebarkan mesej integriti dan bahaya rasuah kepada masyarakat pada era pandemik ini.

Ketua Pengarah JKKN, Mesran Md Yusop berkata, melestarikan seni budaya ketika situasi pandemik serta dalam masa sama menyampaikan mesej berkaitan bahaya rasuah, suatu hasil seni yang menarik.

"Ia boleh dilihat sebagai salah satu usaha bagi memupuk nilai murni dan pembudayaan integriti di dalam bait-bait pantun dondang sayang itu untuk menjadi intipati serta cabaran utama dalam program ini.

"JKKN Melaka dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki mengambil inisiatif ini untuk memulakan satu bentuk pertandingan secara maya bagi menyebarkan mesej terbaik berkenaan.

"Apa yang menariknya, program ini disambut baik oleh Kerajaan Negeri Melaka bersama hampir 20 agensi utama di peringkat negeri dan persekutuan.

"Mereka terdiri daripada Institut Warisan Malaysia, Melaka (INSWA), Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka (Tourism Melaka), Pejabat Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Negeri Melaka, Unit Integriti, Jabatan Ketua Menteri Melaka, Jabatan Penyiaran Malaysia Negeri Melaka (RTM MELAKA fm), Dewan Bahasa dan Pustaka (Wilayah Selatan), Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan Jabatan Penerangan Negeri Melaka," katanya.

Tidak ketinggalan, Jabatan Warisan Negara (Wilayah Selatan), Tourism Malaysia (Wilayah Selatan), Institut Pengurusan dan Integriti Melaka (INSPIM), Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka (PERPUSTAM), Persatuan Dondang Sayang Negeri Melaka, Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Majlis

Perbandaran Alor Gajah, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Perbandaran Jasin, Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya dan Melaka World Heritage.

Menurut Mesran, pertandingan itu dibahagikan kepada tiga kategori umur iaitu Kanak-Kanak (7 hingga 14 tahun), Remaja (15 hingga 25 tahun) dan dewasa (26 hingga 40 tahun).

Memandangkan kita masih berada dalam pandemik Covid-19, pertandingan akan berlangsung sepenuhnya secara dalam talian.

Sebelum memasuki peringkat saringan, peserta perlu mengisi borang penyertaan secara dalam talian menerusi 'Google Form' serta berpeluang mengikuti taklimat pertandingan beserta bengkel dondang sayang yang dilaksanakan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom.

Bengkel dan taklimat akan dikendalikan oleh urus setia serta panel juri terbabit yang terdiri daripada Tokoh Warisan Orang Hidup (dondang sayang) juga tenaga pengajar dari beberapa institusi pengajian termasuk JKKN Melaka dan SPRM pada 12 Julai ini.

Mesran berkata, selepas itu peserta terpilih juga akan dibekalkan dengan bahan-bahan taklimat dan bengkel seperti muzik 'minus one' serta jadual program.

"Semua peserta akan diberikan masa sehingga 30 Julai ini untuk menyerahkan rakaman video persembahan mereka kepada urus setia untuk dinilai dan disaring oleh pihak juri.

"Bagi peringkat saringan, juri akan memilih enam peserta terbaik bagi tiga kategori terbabit. Malah, istimewanya cabaran bagi kategori Remaja dan Dewasa di peringkat separuh akhir akan menyaksikan kehebatan peserta berbalas pantun secara spontan menerusi lirik dondang sayang itu secara langsung di Zoom," katanya.

Peserta akan dinilai bukan saja berdasarkan kemahiran menyanyi lenggok dondang sayang, namun kemampuan berbalas pantun dengan spontan. Juri profesional akan menilai secara langsung dengan di aplikasi itu.

"Pertandingan akhir pula dijangka akan dianjurkan sama ada secara fizikal atau hibrid mengikut situasi semasa pada 25 September depan. Peserta yang berjaya menang akan menerima hadiah berupa wang tunai, piala dan sijil penghargaan.

"JKKN dan SPRM berharap mesej antirasuah berkenaan dapat disebar secara meluas melalui aktiviti kebudayaan supaya penggiat dan peminat seni dapat menghayati serta mengamalkan nilai-nilai integriti dan menolak aktiviti rasuah itu," katanya.

Pendekatan ini juga dilihat dapat menjadikan seni budaya sebagai medium yang berkesan dalam mendidik serta mendapatkan sokongan masyarakat dalam usaha memerangi gejala rasuah.

Disiarkan pada: July 5, 2021 @ 6:15am
d