rap

Naim Daniel sediakan 'food bank'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi popular Naim Daniel membantu golongan memerlukan dengan menyediakan bank makanan atau 'food bank' di Petronas Taman Pelangi, Semenyih, semalam.

Naim berkata, itu adalah inisiatif yang dibuat bagi membantu meringankan beban golongan yang memerlukan dan yang terputus bekalan makanan.

"'Food bank' yang saya sediakan semalam agak mengejut juga saya buat. Sebab saya berasa terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Apabila baca berita macam-macam yang berlaku. Jadi, saya pun terpanggil untuk diri sendiri cuba membantu apa terdaya

"Itu yang semalam cuba beli barangan keperluan bagi kelangsungan hidup orang lain. Saya ke Petronas Taman Pelangi, Semenyih berjumpa pemilik stesen minyak dan minta izin jika saya boleh buat 'food bank' di situ. Apabila dibenarkan saya terus ke pasaraya berdekatan untuk membeli barangan harian dan asas. Antaranya lampin pakai buang, beras, sardin, gula, minyak, tepung, garam, biskut dan banyak lagi.

"Alhamdulillah, semua orang dan terutama di Instagram saya memberikan kerjasama. Ada juga berikan cadangan beli barang apa. Malah, ada juga nak menderma, tapi saya tak boleh nak buka begitu saja sebab takut tak boleh nak uruskan. Lagi pula saya seorang diri. Jadi, saya cuba bantu apa terdaya untuk mereka yang tak bernasib baik, kita cuba," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Naim, 'food bank' yang dibuat itu bakal diteruskan Rabu ini.

"Alhamdulillah, anggaran 'food bank' yang diedarkan semalam 13 pek. Tak banyak sebab satu faktor kenderaan dan kedua baru pertama kali buat, jadi saya nak tengok keadaan macam mana. Semalam pun ramai datang dan ada juga tak sempat ambil, tapi dapat ambil mana yang ada saja.

"Insya Allah, 'food bank' kedua pada Rabu ini. Cuma, lokasi masih belum ditetapkan. Tengok mana yang mudah dan menyenangkan. Insya Allah kita akan perbaiki sistem 'food bank' dari semasa ke semasa jika ada ruang dan waktu," katanya.

Disiarkan pada: July 5, 2021 @ 4:36pm
d