rap

Zara Zya sedih niat baik sering dipandang serong

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: "Kata-kata itu satu doa. Kalau tak mahu buat apa-apa, jangan cari salah orang lain."

Demikian teguran pelakon Zara Zya, 36, kepada segelintir pihak yang suka mempersoalkan tujuan kebaikan dibuat orang lain ketika ini.

Zara berkata, dia bersimpati dengan nasib ramai rakyat Malaysia yang kini berdepan risiko kehilangan kerja dan sumber pendapatan akibat Covid-19.

"Saya kasihan dan simpati sangat dengan nasib mereka yang kehilangan kerja itu. Nak bantu, tapi saya tak mampu. Malah, saya pun tak sangka jangkitan Covid-19 di Malaysia akan jadi teruk seperti ini.

"Sudah hampir dua tahun kita melalui situasi getir ini, tapi keadaan penularan masih belum reda dan sekarang ada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pula di Selangor dan Kuala Lumpur," katanya.

Zara berkata, dia sedar dan tahu memang ramai orang berada dalam kesusahan ketika ini. Namun, sekatan yang dibuat turut mengekang perjalanannya untuk menghulur bantuan ke kawasan lebih jauh.

"Kalau saya keluar juga nanti, didakwa pula melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dan bila kena tangkap, saya juga yang nak kena bayar denda, bukannya anda yang tolong bayarkan.

"Apapun, saya sebenarnya ada sedikit kecil hati dan kecewa dengan sikap segelintir pihak terutama netizen di media sosial yang suka memandang serong dengan usaha kebaikan yang dilakukan," katanya.

Zara atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin yang menubuhkan laman web dikenali Malaysia Prihatin.com tahun lalu bagi membantu golongan memerlukan dengan dana dikumpul turut didakwa mengambil kesempatan atas kesusahan orang lain.

"Saya tak tahu kenapa terus menerus dituduh makan duit haram sedangkan apa yang dibuat adalah kerja-kerja kebajikan. Kalau buat perkongsian lebih di Instagram, mereka kata saya menunjuk-nunjuk, tapi bila tak buat pula dipersoalkan ke mana wang itu pergi.

"Saya memang sedih sebab kerja kebaikan yang dibuat tidak mendapat sokongan. Susah betul mereka nak sokong, tapi kalau mencari salah memang cepat. Pantang ada sikit, terus diperbesarkan," katanya.

Zara berkata, pembabitannya dalam kerja kebajikan kerana dia suka menolong orang lain yang susah sejak kecil.

Terdahulu, Zara juga berkongsi luahan sedihnya dalam video berdurasi hampir 43 minit di Instagram sebagai penjelasan terhadap pelbagai dakwaan tak berasas yang dilemparkan kepadanya.

Disiarkan pada: July 6, 2021 @ 6:19pm
d