rap

'Itu bukan Instagram saya' - Zara Zya

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon, Zara Zya meminta supaya pengikut dan peminatnya di Instagram tidak terpedaya dengan taktik kotor individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan gambar serta namanya untuk menipu.

Tindakan itu dibuat Zara selepas dimaklumkan peminatnya mengenai kewujudan satu akaun Instagram yang menjual barangan elektronik dan menawarkan hadiah.

"Saya baru saja dapat tahu daripada seorang peminat. Dia bertanya, adakah profil Instagram itu milik saya. Apabila saya buka, memang terkejutlah sebab saya tak tahu apa-apa.

"Ini perkara yang sangat berbahaya sebab peminat itu sendiri pun hampir terpedaya dan hampir nak terbeli," katanya kepada Harian Metro.

Untuk mengelakkan perkara tidak diingini, Zara memuat naik di profil palsu itu di Instagramnya.

"Sebelum ramai lagi menjadi mangsa, saya perlu ambil tindakan segera dengan berkongsi di Instagram saya. Saya tak mahu kalau apa-apa berlaku, saya akan dipersalahkan dan nama saya terpalit dengan perkara yang tidak sepatutnya," katanya.

Individu itu juga menggunakan taktik kotor dengan menawarkan hadiah kepada peminat Zara yang terpilih.

"Saya tak pasti bagaimana penipuan yang dilakukannya. Dia kononnya memberi hadiah kepada peminat saya yang terpilih. Mungkin mereka perlu membeli apa-apa barang terlebih dulu," katanya.

Akaun Instagram menggunakan nama @zarazya_iphone_giveaway_fanpag itu juga turut menggunakan link pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikelolakan Zara iaitu Malaysia Prihatin di bahagian bio.

Di Instagram, Zara menulis amaran keras kepada pemilik akaun itu dan akan mengambil tindakan saman.

Disiarkan pada: July 7, 2021 @ 4:44pm
d