rap

Ruffedge 'enjoy' walau tertipu

Oleh Norhayati Nordin

PROGRAM hiburan popular, I Can See Your Voice Malaysia musim keempat (ICSYVMY4) di TV3 yang disertai kumpulan Ruffedge baru-baru ini nampaknya berakhir dengan dramatik.

Ia berikutan kumpulan R&B dan hip hop yang popular dengan lagu Khayalan dan Tipah Tertipu itu akhirnya terjerat dengan permainan sandiwara panel penyiasat, Alif Satar.

Ruffedge yang dianggotai Azan Addin, Cat Farish, Mode, Sein Qudsi dan Zain Hamid tersilap percaturan kerana memilih penyamar bersuara sumbang pada pusingan akhir akibat begitu yakin dengan kata-kata pelakon dan pengacara itu.

Azan berkata, mereka menganggap tiada rezeki memilih penyanyi sebenar pada episod berkenaan kerana sukar untuk membuat pilihan apabila mahu menyingkirkan peserta.

"Memang agak mencabar kerana kita tidak pasti siapa di antara peserta itu yang sebenarnya boleh menyanyi dan juga penyamar. Jadi, kata-kata daripada panel penyiasat kita ambil kira.

"Bagaimanapun, tak sangka pula perjalanan permainan dalam pencarian penyanyi sebenar dan penyamar bersuara sumbang ini berpandukan taktik untuk mengelirukan," katanya.

Namun, katanya, Ruffedge sangat 'enjoy' menyertai program itu yang dianggap satu pengalaman baharu dan menghiburkan mereka.

Katanya, mereka sangat seronok walaupun tertipu.

Menurut Azan, tak dinafikan juga ada peserta yang boleh menyanyi dengan baik dan bakat mereka perlu diketengahkan di platform yang betul.

Katanya, Ruffedge terkesima dengan persembahan salah seorang peserta dikenali Sarah Malique.

Pada tayangan ICSYVMY4, Ahad lalu itu, Ruffedge akhirnya memilih penyamar bersuara sumbang dikenali Mohd Firdaus dan pemuda itu sekali gus berjaya membawa pulang wang tunai RM3,000.

Bagi Mohd Firdaus, dia menerima kemenangannya dengan penuh kesyukuran.

Katanya dia memang tak sangka dapat bertahan menjadi dua peserta terakhir dan kemudian dipilih Ruffedge untuk duet bersama mereka.

"Saya suka menyanyi, tapi sayangnya tiada bakat suara yang baik. Apapun, terima kasih kepada Ruffedge kerana memilih saya dan dapat juga merasa hadiah kemenangan RM3,000 ini,

" katanya.

Selain Alif, panel penyiasat lain yang terbabit ialah Jihan Muse, Fad Bocey, Datin Seri Umie Aida dan Issey Fazlisham. Manakala, pengacara pula adalah Shuk Sahar dan Sean LJE.

Terdahulu, Ruffedge berhadapan gelagat Fad dan Issey yang juga berjaya mengelirukan mereka ketika membuat keputusan menyingkirkan peserta. Ia nyata sangat memberi cabaran buat Ruffedge.

Ternyata bukan mudah membuat keputusan memilih peserta untuk disingkirkan di dalam ICSYVMY4 kerana setiap keputusan dibuat berdepan risiko utama iaitu dibimbangi tersilap melakukan percaturan pilihan.

ICSYVMY4 ditayangkan di TV3 setiap Ahad, jam 9 malam. Bagi episod akan datang pula menampilkan penyanyi Azlan Typewriter sebagai artis jemputan.

Disiarkan pada: July 8, 2021 @ 6:30am