rap

Jaz harap impak besar sinergi

Oleh Georgie Joseph

SELEPAS lima tahun menanti, impian penyanyi Jaz Hayat akhirnya tercapai untuk memiliki album penuh dengan pelancaran Sinergi.

Yang pasti, penantian itu ternyata cukup berbaloi.

Mana tidaknya, ada sebab Jaz, 28, menunggu lama untuk terbitkan album. Setiap aspek perlu diperincikan sebaiknya untuk memastikannya berada pada kelas tersendiri dan bermutu.

Penyanyi lagu Dari Mata itu pun enggan mensia-siakan reputasi dibina setakat ini dan sangat menitikberatkan pembikinan Sinergi. Dia mahu album terbabit memberi impak besar.

Paling utama, album itu bertujuan meraikan perjalanannya sebagai insan seni sejak menceburi muzik secara serius pada 2016. Menerusi Sinergi, dia merangkumkan cerita hidupnya.

"Sinergi adalah ibarat perayaan untuk meraikan perjalanan muzik saya. Merayakan apa-apa saja yang sudah dilahirkan dan dipersembahkan kepada semua.

"Sinergi juga adalah penanda zaman. Zaman di mana kita dapat mengenal, mendengar dan menghargai semua yang sudah diberikan Jaz kepada semua.

"Sinergi merangkumkan apa-apa yang sudah saya capai sejauh ini. Sinergi juga adalah bukti bahawa kini saya sudah sah sebagai ahli muzik sepenuhnya," katanya.

Jaz juga mengakui pelancaran album itu semestinya lebih bermakna kerana dia kini memiliki himpunan lagu lebih banyak. Hal itu sangat penting buatnya terutama apabila menyentuh mengenai persembahan.

Mana tidak, selama ini dia terpaksa menyanyikan lagu orang lain ketika beraksi di pentas kerana lagu sendiri tidak banyak. Kini, dia tidak perlu risau lagi mengenai hal itu.

"Dengan modal cuma empat lagu sebelum ini, saya berhasil membuat persembahan di merata tempat. Bagaimanapun, untuk persembahan berdurasi satu jam, saya juga harus lebih banyak membawakan lagu orang lain.

"Semakin lama, saya semakin menyedari betapa pentingnya untuk tampil menghasilkan lebih banyak lagu sendiri. Justeru, ia boleh dimuatkan dalam sebuah album yang lengkap," katanya.

Memuatkan sembilan lagu, album Sinergi menjadi gambaran kepada perit jerih kerjaya muzik Jaz. Usahanya mencipta nama tidak pernah terhenti bahkan setiap lagu dihasilkan pasti berkualiti.

Album itu memuatkan lagu Dari Mata, Kasmaran, Teman Bahagia, Katakan, Bagaimana Bisa, Penipu Cinta dan Teman Bahagia. Beberapa versi segar lagunya turut dimuatkan khas buat peminatnya.

Walaupun berasal dari Brunei, Jaz berkelana ke Indonesia demi mengukuhkan namanya sebagai penyanyi. Kini, dia antara penyanyi muda yang berjaya di sana dan kekal bertahan.

Disiarkan pada: July 8, 2021 @ 6:35am
d