rap

Hidayah di Subuh hari, bawa Adam Corrie peluk Islam

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Petunjuk dalam mimpi ketika terjaga semasa azan Subuh berkumandang membawa kepada penghijrahan pelakon Adam Corrie Lee Abdullah, 52, memeluk agama Islam, sekitar 14 tahun lalu. 

Perkara ini didedahkan oleh pelakon terbabit menerusi perkongsian di istimewanya Facebook hari ini.

"Saya masih ingat lagi, di waktu pagi sekitar 3 ke 4 pagi pada 13 Julai 2007 iaitu 14 tahun lalu, yang mana ketika itu, saya belum kembali pada fitrah (menganut Islam). Tapi, saya nekad inginkan kehidupan yang lebih baik. 

"Saya berdoa minta pada Allah; Ya Allah, sekiranya agama Islam adalah pegangan agama aku hingga mati, berikanlah aku petunjuk." tulisnya.

Menurut Adam Corrie, selepas mendapat petunjuk dalam mimpi itu, dia pergi ke Pertubuhan Kebajikan Islam (Perkim) untuk proses memeluk Islam.

"Paginya, saya terus pergi ke Perkim untuk mengucapkan dua kalimah syahadah di hadapan Ustaz Ambran.

"Alhamdulillah, Allah telah berikan taufik dan hidayah kepada hamba-Nya yang mencari kebenaran dalam hidup ini. Semoga Allah terus kekalkan iman dan istiqomah dalam Islam kepada diri saya dan kita semua," katanya lagi.

 Adam Corrie sebelum ini pernah memberitahu, dia sering berdoa pada waktu mustajab iaitu jam 3.30 pagi dan ia menjadi antara amalan rutinnya.

Bagaimanapun, pelakon berasal dari Pulau Pinang yang fasih berbahasa Melayu ini sering tampil dengan watak antagonis dalam drama atau filem lakonannya.

Antara aksinya dalam filem.yang paling meninggalkan kesan kepada penonton ialah karakter Dragon yang dilakonkan menerusi filem KL Gangster 1 dan 2.

 Selain itu, Adam Corrie juga berbakat dalam tarian dan pernah aktif sebagai penari profesional serta pereka tari Akademi Fantasia musim kedua dan keempat.

Dia berkahwin dengan Fazema Mohd Fuad, 43, pada 2008 dan mempunyai seorang anak bernama Adam Fateh Lee.

Pada 2017 lalu, Adam Corrie pernah dipilih sebagai 'Tokoh Saudara Kita' peringkat Selangor sempena sambutan Maal Hijrah 1439.  

Disiarkan pada: July 13, 2021 @ 8:25pm
d