rap

YKAT terus salur bantuan

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Artis Tanahair (YKAT) meneruskan misi menyalurkan sumbangan kepada 20 artis bagi meringankan beban mereka sepanjang tempoh pandemik Covid-19 ini.

Bantuan peringkat keenam yang diberikan pada Isnin dan Selasa lalu itu berupa barangan makanan kering berjumlah RM200 untuk setiap seorang daripada peruntukan sebanyak RM4,000 yang disediakan kali ini.

Pengerusi YKAT, Datuk DJ Dave berkata, mereka tidak akan putus membantu ringankan beban golongan artis apatah lagi mereka tidak dapat keluar bekerja ketika ini.

"Sehingga kini, kami masih berusaha untuk membantu rakan-rakan artis dalam pelbagai bentuk seperti kewangan dan barangan dapur. Kami berharap bantuan ini sedikit-sebanyak dapat meringankan beban mereka.

"Kami faham akan situasi dilalui mereka, lebih-lebih lagi ada mereka yang terpaksa menanggung keperluan keluarga. Kita berharap supaya bencana ini segera berakhir supaya kami boleh bergerak bagi mencari pendapatan seperti biasa," katanya.

Antara artis pelbagai kaum yang menerima sumbangan itu ialah Sathia, Jaafar Onn, AR Badul, Shima, Roy, M Jamil, Cef Yang Jamil, Aai Samudera, Mus Kemala, R Ramesh, M Sivaperuman, N Raman, A Samala, R Balakrishnan, Wong Seong Kin, Leong Ah Kau, Ng Kim Ying, Hon Yit Sin, Gan Chu Lian dan Margerat Gan.

DJ Dave berkata, YKAT memulakan misi bantuan itu sejak tahun lalu dan sehingga bulan lalu, bantuan sebanyak lima peringkat sudah diberikan kepada artis-artis di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Pengurusan YKAT dianggotai lapan pemegang amanah iaitu DJ Dave, Datuk M Nasir, Datuk Nash, Datuk Yusof Haslam, Datuk Nancie Foo, Datuk Khairudin, Dr Kanagarajan dan Colin Edmonds.

Disiarkan pada: July 15, 2021 @ 11:52am
d