rap

Ada lagi diganggu streamer jijik!

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Susulan laporan polis dibuat terhadap streamer permainan atau 'game' dalam talian, pelakon Yana Samsudin mendapat banyak maklumat tambahan mengenai identiti individu terbabit.

Yana berkata, berdasarkan maklumat diberikan, ia bukan kali pertama streamer itu membuat gangguan seksual secara lisan iaitu 'double meaning' dan berbaur lucah kepada kanak-kanak perempuan.

"Selepas laporan polis dibuat kelmarin, banyak maklumat baharu saya dapat daripada pengguna akaun lain yang mengenali kanak-kanak perempuan itu. Mereka kata kanak-kanak ini kerap diganggu oleh kumpulan sama yang turut membabitkan streamer itu.

"Malah, bukan kanak-kanak itu saja, tapi ada tiga lagi kanak-kanak perempuan yang selalu diganggu. Malah, mereka menjadi trauma sehingga menjual akaun itu.

"Dalam masa sama, ramai menghantar mesej kepada saya memberikan maklumat berkenaan lelaki itu yang mana dia pernah menjadi pelakon tambahan sebagai watak jahat dalam filem Paskal The Movie," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Yana, tindakannya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, kelmarin, turut mendapat sokongan daripada golongan ibu yang mana anak mereka berdepan masalah sama.

"Saya mendapat maklum balas daripada mereka yang mengucapkan terima kasih sebab saya buat laporan polis. Saya diberitahu anak mereka yang turut bermain permainan dalam talian ini juga pernah mendapat gangguan sama.

"Persoalannya macam mana nak sekat orang macam itu? Saya berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan terhadap pelaku sebegini," katanya.

Selain laporan polis, Yana juga sudah membuat laporan di Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), semalam.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Yana membuat laporan polis terhadap individu atau 'streamer' yang didakwa membuat gangguan seksual secara lisan iaitu 'double meaning' dan berbaur lucah kepada seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun.

Yana berkata, tindakan 'streamer' itu boleh memberi kesan negatif terhadap psikologi dan melanggar akta kanak-kanak.

Menurut Yana, itu adalah kali pertama dia mengetahui kewujudan streamer yang sangat menjijikkan dan memalukan.

Berita berkaitan

  • 'Streamer itu jijik, memalukan'
  • Disiarkan pada: July 16, 2021 @ 4:03pm
    d