rap

Misi kuasai Hollywood

Oleh Georgie Joseph

Semakin rancak mengembangkan karier muziknya di Amerika Syarikat (AS), penyanyi Jackson Wang tampil dengan lagu baharu berjudul California.

Lagu terbabit adalah adunan semula lagu asal nyanyian Rich Brian, NIKI dan Warren Hue.

Istimewanya, kerjasama mereka itu cukup membanggakan apabila bergabung membawa nama Asia. Jackson berasal dari Hong Kong manakala tiga lagi penyanyi itu dari Indonesia.

Semestinya ia membuktikan transisi karier bakat Asia di sana semakin kukuh. Kini berpangkalan di AS, mereka semakin meluaskan empayar dalam misi menguasai Hollywood.

Diterbitkan 88rising, lagu adunan semula itu jelas dinantikan peminat seluruh dunia. Mana tidaknya, pembabitan Jackson itu sendiri pasti membawa lagu itu ke suatu tahap lebih tinggi.

Ramai pasti tahu penyanyi yang juga bekas anggota kumpulan terkenal Korea Selatan, GOT7 mempunyai pengaruh cukup besar. Jadi, keputusannya meneruskan karier muzik solo terus mendapat perhatian.

Hakikatnya, peminat rata-rata gembira dengan pelancaran lagu kerjasama berkenaan. Apatah lagi selepas penyanyi itu sendiri sempat memberi pembayang mengenai projek itu.

Kebanyakan komen peminat menyifatkan gandingan itu jelas menjadi. Adunan semula California jelas kedengaran lebih segar dan begitu tepat kena di hati serta bertepatan cita rasa pasaran terkini.

Terdahulu, pada Mei lalu, Rich, NIKI dan Warren melancarkan lagu asal terbabit. Mereka turut mempersembahkan lagu itu pada konsert Asia Rising Together anjuran 88rising.

Menurut mereka, lagu itu besar maknanya kerana mencerminkan perjuangan mengejar impian muzik di AS. Mereka sanggup berkelana ke California demi mencipta nama dan mengembangkan karier ke pentas antarabangsa.

Mereka turut mengakui lagu itu menjadi lambang yang sangat penting untuk gambarkan pengalaman sebagai artis Asia-Amerika. Secara umumnya, ia kisah hidup yang mereka tempuhi dan pelajari di sana.

Lagu adunan semula terbabit adalah projek terbaharu Jackson bersama 88rising.

Pada 2019, dia juga pernah menghasilkan lagu kerjasama dengan label itu dan dimuatkan dalam album kompilasi Head in the Clouds II.

Ia juga bukan kerjasama pertama Jackson dengan pemuzik dari Indonesia. Pada tahun ini juga, dia turut melancarkan lagu kerjasama dengan Afgan yang berjudul M.I.A.

Awal tahun ini, GOT7 diumumkan keluar secara rasmi daripada agensi JYP Entertainment selepas memutuskan untuk tidak memperbaharui kontrak mereka. Sejurus itu, Jackson terus kembali ke AS untuk meneruskan kerjaya solonya.

Disiarkan pada: July 18, 2021 @ 6:49am
d