rap

Rezeki dalam sengsara

NAMA dan bakat nyanyian dimiliki Khai Bahar, 27, se sudah dibuktikan kepada peminat muzik tempatan. Apatah lagi, beberapa single Khai sebelum ini cukup popular dan 'mesra radio'.

Namun, penularan pandemik Covid-19 dalam negara sejak tahun lalu agak menjejaskan industri hiburan. Ia berikutan semua aktiviti persembahan nyanyian secara terbuka tidak dibenarkan utuk mengelak daripada perkumpulan secara beramai-ramai.

Sekalipun dugaan besar yang melanda di seluruh dunia akibat pandemik berbahaya yang belum berakhir ini, penggiat bidang seni muzik tetap terus berkarya. Begitu juga dengan Khai.

Terbaharu, Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin muncul dengan single berjudul Sengsara hasil ciptaan trio komposer hebat iaitu John Jeeves, Firdaus Rahmat dan Omar K.

Malah, single Sengsara juga dipilih menjadi lagu runut bunyi (OST) untuk filem Dendam Penunggu yang dijangka menemui penonton pada Ogos, depan. Malah, karya ini juga adalah filem eksklusif pertama dari tonton CINEMA.

Berbicara mengenai single Sengsara itu, Khai berkata dia berasa sangat bertuah kerana mendapat kepercayaan daripada tiga komposer terbabit untuk menyanyikan lagu mereka.

"Syukur alhamdulillah kepada Allah di atas rezeki ini. Malah, saya juga sangat berbesar hati apabila pihak Monkey Bone menawarkan untuk saya menyanyi lagu Sengsara yang turut dipilih sebagai OST filem Dendam Penunggu.

"Semasa mendapat tawaran ini, ia agak lambat juga bagi saya. Tapi, saya tak fikir lama untuk buat keputusan dan bersetuju. Ini kerana, ia peluang keemasan yang tak wajar saya lepaskan kerana dapat merakam lagu baharu.

"Ditambah juga, apabila saya mendengar lagu ini ternyata melodinya sangat sedap dan lirik ditulis agak unik. Apapun, alhamdulillah saya sempat menyiapkan rakaman lagu ini," katanya lagi.

Mengakui walaupun dia berhadapan cabaran tersendiri dengan keadaan semasa pandemik ketika ini, Khai tetap meletakkan harapan positif pada lagu Sengsara itu. Katanya, semoga pendengar menerima baik single baharunya, selain dia juga tidak sabar hendak menonton filem Dendam Penunggu.

Sementara itu, Pengurus Besar Kanan, Penerbitan Program Dalaman Media Prima, Nor Shahila Harun Shah meluahkan perasaan gembiranya apabila Khai sudi menerima tawaran untuk menyanyikan lagu Sengsara berkenaan.

"Khai mempunyai mutu suara yang lunak dan mudah melekat di telinga pendengar. Jadi, kami amat yakin dengan kebolehan dia untuk menyanyikan lagu Sengsara ini dengan baik.

"Kini, harapan kami agar peminat Khai dapat menyokong kehadiran single terbaharu ini. Apatah lagi, Khai sudah membuat yang sebaiknya ketika proses rakaman lagu," katanya.

Bagi seluruh peminat seni hiburan tanah air, kini single Sengsara sudah boleh distrim di semua pelantar muzik digital.

Malah, lirik video rasmi Sengsara juga boleh ditonton di Youtube Monkey Bone.

Disiarkan pada: July 20, 2021 @ 6:21am
d