rap

'Adakah salah untuk tegur, beri pendapat?'

Oleh Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: Tindakan pelakon Lana Nodin mengkritik seorang individu yang tidak memakai kelengkapan pelindung diri (PPE) di kontena menempatkan jenazah Covid-19 mengundang kecaman netizen.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di Instagram Story itu, Lana turut mempertikai bagaimana prosedur operasi standard (SOP) dilanggar begitu saja secara terbuka.

Lana berkata, dia berhak menegur dan melontarkan pendapat apabila perkara itu secara terang-terangan dilihat salah apatah lagi jika ia membabitkan petugas barisan hadapan.

"Hanya kerana memuat naik video itu, saya dikecam teruk. Kenapa? Adakah apa yang dipaparkan dalam video itu betul? Lagi pun video itu dirakam oleh petugas barisan hadapan sendiri dan disebarkan sehingga tular. Bukan saya seorang saja yang kongsikan, ada ramai lagi. Semua bercakap perkara sama.

"Secara jelas, orang lain dalam video tu lengkap pakai PPE. Kenapa ada seorang tak pakai? Kebal sangat ka? SOP membabitkan jenazah Covid-19 sudah jelas. Ahli keluarga tidak dibenarkan mengurus dan berjumpa. Tapi, pelik ada yang boleh langgar SOP. Terlupa, sengaja atau penat, itu bukan alasan. Sedangkan orang lain boleh pakai.

"Seperkara lagi, saya juga rakyat Malaysia dan diberi hak kebebasan untuk bersuara. Kenapa perlu halang saya untuk menegur perkara ini. Ia juga tanggungjawab saya. Kalau orang lain tak nak bersuara, tidak mengapa. Biarkan. Tapi, saya tak boleh. Kalau orang awam serba serbi salah, tapi golongan tertentu kenapa tak boleh pula kena tegur?" katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Lana mahu rakyat Malaysia terutama netizen fokus pada topik perbincangan dan bukan mengaitkan dengan isu peribadi.

"Ramai mesej (DM) marah-marah dan lontarkan kata-kata kesat. Tapi semua gunakan akaun palsu. Kenapa tak gunakan wajah dan nama sebenar. Takut? Setakat berselindung di sebalik akaun palsu jangan nak temberang.

"Ada juga siap suruh saya balik negara suami di Amerika Syarikat. Saya nak tanya mereka, dia siapa suruh saya balik sana. Ini negara saya, tempat lahir saya dan saya warganegara Malaysia serta membayar cukai. Apa masalah mereka? 

"Sepatutnya netizen kena fokus pada isu yang dibincangkan. Bukan allih topik lain dengan buat serangan hal peribadi. Tidak ada kena mengena langsung," katanya.

Tidak hanya satu isu, Lana turut dikecam gara-gara hantaran yang mahu Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meletakkan jawatan.

Ia susulan gambar memaparkan Noor Hisham tidak memakai pelitup muka di Pejabat Menteri Kesihatan.

"Saya tegur bukan saja-saja. Malah, saya percaya ada ramai lagi rakyat Malaysia yang memuat naik status sama mahukan dia letak jawatan ekoran kes positif Covid-19 yang semakin tinggi. Cuma disebabkan saya artis, hantaran saya diperbesarkan netizen. Seolah-olah saya paling bersalah.

"Sekali lagi nak cakap, saya juga berhak bersuara dan menyuarakan pendapat. Saya tidak pernah kata pendapat orang ini salah, orang itu salah. Bagi saya masing-masing ada hak.

"Kalau berasa tak suka dengan saya, sila 'unfollow'. Jangan semakkan kepala otak anda untuk menghentam saya semata-mata tidak bersetuju dengan pendapat saya," katanya.

Disiarkan pada: July 26, 2021 @ 9:09pm
d