rap

'Dikejar' LHDN, Pak Nil beri penjelasan

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Pengacara dan personaliti terkenal, Datuk Aznil Nawawi melahirkan rasa lega apabila masalahnya membabitkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) hampir selesai.

Aznil, 59, menerusi sesi siaran langsung di Instagram, semalam, meluahkan kekecewaannya terhadap LHDN yang memaksanya membayar cukai biarpun struktur ekonominya kini tenat disebabkan pandemik Covid-19.

"Pada mereka yang perasan mungkin nampak bahawa video Paknil live yang Paknil letakkan mengenai LHDN sudah Paknil bawa turun. 

"Sekarang ada perkembangan terkini. Ada pegawai LHDN yang menghubungi Paknil untuk tahu cerita sebenarnya. 

"Alhamdulillah cepat mereka bertindak. Mungkin mereka cepat bertindak dengan orang lain juga. Kita husnuzon," katanya.

Terdahulu, dalam video terbabit Aznil berkata, adalah tidak wajar LHDN memaksa orang ramai termasuk dirinya membayar cukai sedangkan rakyat sudah terputus punca kewangan hampir dua tahun disebabkan pandemik dan berkurung memasuki tempoh dua bulan.

Dia mengakui semua projeknya terpaksa dibatalkan, namun terkejut dengan sikap LHDN yang menghantar surat untuk membayar cukai tertangguh. 

Aznil turut kecewa apabila surat yang sampai kepadanya seperti mengugut untuk menyekat pasport atau perjalanan keluar negara, kemungkinan disenaraihitam dan diisyitiharkan muflis sekiranya gagal melangsaikan tunggakan cukai. 

"Terima kasih kepada mereka yang tag nama LHDN. Saya bukan nak mereka beri perhatian kepada saya tapi saya nak anda semua juga merasa keistimewaan pada masa Covid ini.

"Insya-Allah saya akan berunding dengan mereka dan kalau ada apa-apa saya akan kemas kini. Kita doakan sama-sama," katanya.

Aznil memaklumkan dia memang tiada masalah dengan hal pembayaran cukai sebelum ini dan mampu membayar jumlah yang ditetapkan.

Namun dengan pandemik Covid-19 yang sudah menjangkau hampir dua tahun, sedikit sebanyak ekonominya turut terjejas sekaligus membuatkan dia tidak mampu membayar seperti biasa.

Disiarkan pada: July 26, 2021 @ 9:16pm
d