rap

MK K-Clique mohon maaf sebab mencarut

Kuala Lumpur: Penyanyi rap MK K-Clique memohon maaf kerana menggunakan perkataan lucah yang ditujukan kepada seorang lelaki yang bersikap biadab dengan meninggikan suara terhadap lelaki warga emas di sebuah pusat transit gelandangan, di sini, seperti yang tular, semalam.

MK, 25, atau nama sebenarnya Muhammad Hairi Amin Hamdan berkata, itu bukan caranya untuk masuk campur membabitkan isu semasa, namun sikap lelaki itu adalah keterlaluan.

"Bukan cara saya mahu ikut campur hal isu semasa ini, tapi cara lelaki itu melayan orang tua itu keterlaluan. Jangan ingat apabila berjaya boleh buat sesuka hati. Pakcik itu orang tua.

"Saya dari keluarga susah dan saya nampak pakcik itu macam bapa saya. Niat sama cara itu tak kena. Saya minta maaf sebab emosi sangat. Fikiran tak betul," katanya.

Menerusi hantaran dimuat naik di Instagram Story, MK berkata, dia menerima setiap teguran dan nasihat daripada semua.

"Ada jalan betul dan lebih baik tolong. Maafkan saya. Saya pun bodoh juga, manusia biasa marah ikut emosi. Saya minta maaf," katanya.

Selain MK, pelakon terkenal, Datuk Aaron Aziz serta beberapa lagi selebriti lain turut meluahkan rasa amarah sama terhadap tindakan lelaki itu.

Menerusi laporan Harian Metro, lelaki juga usahawan itu dikompaun RM1,500 atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana tidak memakai pelitup muka ketika berceramah kepada gelandangan di Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Disiarkan pada: July 29, 2021 @ 12:49pm
d